Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah turut mencemar duli berangkat ke lokasi perdana di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini.
Ketibaan baginda pada jam 11.40 pagi diiringi Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.
Turut hadir, pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Datuk Dr Hussamuddin Yaacub; Rektor UIAM, Prof Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak dan Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff.
Penganjuran tahun keempat ini mengangkat tema Solusi Cabaran Sejagat dengan mengajak masyarakat untuk memahami empat cabaran dunia akhir zaman dan solusi yang diibrahkan daripada surah al-Kahf.
Kira-kira 3,000 orang bersama-sama mengalunkan bacaan al-Quran di UIAM sebagai lokasi perdana.
Program sama turut diadakan serentak di 2,100 lokasi berdaftar di dalam negara dan lebih 79 lokasi di 28 negara luar.
Antara lokasi di luar negara yang terlibat ialah di Amerika Syarikat, Singapura, Indonesia, India, Australia, Arab Saudi dan Korea Selatan.
Misi al-Kahf 2019 memfokuskan pengupasan surah al-Kahf daripada setiap sudut cabaran serta penyelesaiannya berteraskan Divine Solutions dalam membentuk tamadun Dunia Berbudi dan Penyayang.
Bertadabbur 110 ayat dalam surah al-Kahf, terdapat empat cabaran yang dinukilkan melalui empat kisah iaitu pemuda al-Kahf (cabaran iman), pemilik dua kebun (cabaran harta), Nabi Musa AS dan Khidr (cabaran ilmu) dan Zulkarnain (cabaran kekuasaan).
Penghayatan surah ke-18 ini memberi persediaan dan solusi dari perspektif fizikal, emosional, intelek dan spiritual dalam konteks Qurani kepada masyarakat dalam menangani dunia era VUCA – Volatility, Uncertainty, Complexity, Ambiguity.
Sesi berinteraksi dengan al-Quran dimulakan bacaan surah al-Fatihah dan surah al-Baqarah.
Seramai 12 pembawa panji-panji al-Kahf kemudiaannya memperdengarkan bacaan surah Al-Kahf secara bergilir-gilir.
Selesai bacaan, sesi tadabbur surah al-Kahf disampaikan oleh Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Fazrul Ismail dan pensyarah Jabatan Quran dan Sunnah, Fakulti Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan UIAM, Prof Madya Dr Habeeb Rahman Ibramsa.
Sesi berinteraksi dengan al-Quran diakhiri dengan bacaan Ikrar Quran yang dipimpin oleh pengacara dan penyampai radio, Mat Dan @ Mohammad Kareef Daniel Abdullah, Penolong Penerbit Astro, Ibrahim Hajjar (Syria), dan Mohamad Naja Nathan Azman (Malaysia).
Sementara, bacaan doa disampaikan oleh Pengarah Pusat Islam UIAM, Prof Madya Dr Akmal Khuzairy Abd Rahman.
Kempen ini merupakan kolaborasi ummah di bawah naungan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan dianjurkan bersama oleh UIAM, WUIF, Majlis Dakwah Negara, Rumah Ngaji dan Akademi Sinergi Ikhlas Sdn Bhd.
Media turut bergabung atas nama Sinergi Media untuk menjayakan kempen ini termasuk Kumpulan Media Karangkraf, Sinar Harian, Sinar TV, Astro, Kumpulan Media Prima, RTM, Bernama, TV Alhijrah, IKIMfm, Kumpulan Utusan, Kumpulan NSTP dan blogger, Denaihati Network.