KUALA LUMPUR – Syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia Bhd sedang mengkaji kemungkinan kenaikan kadar tambangnya pada masa depan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Pengerusinya, Datuk Kamarudin Meranun berkata, buat masa ini syarikat masih dalam perbincangan sama ada terdapat keperluan yang mendesak bagi AirAsia untuk menaikkan kadar tambangnya pada masa depan.
“Kalau ada (kenaikan tambang), ia takkan ketara.
“Buat masa ini, kita tidak tahu secara tepat jumlah kenaikan tambang penerbangan (sekiranya ada) kerana kita masih belum mengetahui jumlah pesawat AirAsia yang dibenarkan untuk beroperasi sepanjang PKPB ini,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran kempen ‘Derma Dengan Ikhlas’ di sini hari ini.
Pada Selasa, beberapa syarikat penerbangan tempatan mengingatkan bahawa penumpang dijangka perlu membayar lebih 50 peratus untuk kadar tambang udara jika penjarakan sosial dikuatkuasakan dalam pesawat seperti yang dicadangkan oleh Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) berikutan Covid-19.
Malaysian Airlines Bhd dan Malindo Air bersetuju dengan cadangan itu yang memerlukan penjarakan sosial dalam kalangan penumpang yang akan menaikkan kadar tambang udara sehingga 54 peratus.
Malaysia Airlines berkata, ini dapat dilihat di Thailand selepas kerajaannya menetapkan tempat duduk kosong antara penumpang, menaikkan kadar tambang domestik lebih 50 peratus.
“Kami akan terus memacu harga yang dinamik bergantung kepada kapasiti dan permintaan. Promosi akan ditentukan dari masa ke masa dan apabila dilaksanakan. Kami menjangka pelanggan akan lebih peka mengenai keselamatan,” katanya dalam laporan berita semalam.
Kamarudin berkata, kenaikan kadar tambang penerbangan tertakluk kepada kos dan AirAsia akan cuba sedaya-upaya untuk tidak menaikkannya untuk tidak membebankan penumpang.
“Hasrat kita untuk menyambung semula penerbangan bagi memastikan operasi syarikat terus berjalan dan bukan kerana mahu mendapatkan keuntungan berikutan dalam situasi yang mencabar sekarang memang sukar untuk syarikat penerbangan membuat keuntungan.
“Namun asalkan kita dapat membiayai kos-kos pengurusan seperti kos penyelenggaraan dan sebagainya, itu sudah memadai,” katanya.
Katanya, operasi syarikat penerbangan tertakluk kepada arahan kerajaan dan setiap perancangan yang dirangka perlu mengikut serta selari dengan keputusan dan pengumuman yang dibuat oleh kerajaan terutamanya dalam tempoh PKP.
“Oleh itu, apabila kita telah membuat sesuatu perancangan dan pengumuman yang dibuat oleh kerajaan tidak selari dengan perancangan, kita terpaksa mengubah perancangan tersebut,” katanya.
Sementara itu, Kamarudin berkata, sebanyak RM50,000 daripada jumlah dana sumbangan digunakan untuk membeli barangan keperluan asas dari pasar raya ST Rosyam Mart dan ia akan diedarkan kepada lebih 1,000 buah keluarga dari pelbagai komuniti termasuk ibu tunggal, pertubuhan bukan kerajaan, masjid dan persatuan kebajikan penduduk.
“Setakat ini, kami telah mengedar bantuan ke lebih 50 buah lokasi dan kami menyedari bahawa terdapat ramai lagi komuniti yang memerlukan bantuan,” katanya.
Sehingga kini, beliau berkata, kempen ‘Derma Dengan Ikhlas’ telah berjaya mengutip dana sebanyak RM911,000 melalui inisiatif derma digital awam.
Sejak hari pertama Ramadan, pasukan Ikhlas telah mengedar barangan keperluan asas dan juadah berbuka puasa kepada lebih 5,800 buah keluarga di seluruh negara.
Ikhlas merupakan jenama perniagaan baharu di bawah naungan AirAsia.com yang ditubuhkan khusus untuk komuniti Islam di seluruh dunia dengan menyediakan akses bagi pelbagai amalan berasaskan keimanan, termasuk kewajipan agama seperti umrah, korban dan pilihan gaya hidup berasaskan hukum syariah. – Bernama