AIM24 Kembali: Lebih Meriah Dengan Kategori Baharu, Ganjaran Lebih Besar, dan Pengiktirafan Terus Terhadap Muzik Malaysia

Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) dengan penuh rasa bangga mengumumkan penganjuran semula Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM24), yang dijadual berlangsung pada 13 September 2025, jam 9 malam di Arena of Stars, Genting Highlands. Acara berprestij yang telah menjadi pentas utama pengiktirafan kepada karyawan muzik tempatan sejak 1993 ini bakal disiarkan secara langsung menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) selaku penyiar rasmi.

Setelah berehat selama tiga tahun, AIM24 kembali dengan nafas baharu yang lebih segar dan inklusif menerusi pengenalan tiga kategori anugerah terkini. Antaranya ialah kategori Lagu Perpaduan Terbaik, yang mengiktiraf karya-karya muzik yang menyemai semangat perpaduan, keterangkuman dan keharmonian antara rakyat berbilang kaum dan bahasa. Seterusnya, kategori Lagu Tradisional Terbaik memberi penghormatan kepada ciptaan-ciptaan yang berpaksikan warisan muzik tradisional tempatan, sekali gus memperkukuh jati diri budaya bangsa. Kategori ketiga pula, Kolaborasi Artis Tempatan Bersama Artis/Komposer Luar Negara Terbaik, memberi pengiktirafan kepada kolaborasi rentas sempadan yang mengangkat nama artis Malaysia ke peringkat antarabangsa. Ketiga-tiga kategori ini mencerminkan komitmen AIM dalam memperluas horizon industri muzik negara dengan menjunjung kepelbagaian, melestarikan warisan, dan meraikan pencapaian global.

Sebagai bukti sokongan berterusan kerajaan terhadap industri muzik tanah air, Kementerian Komunikasi Malaysia telah memperuntukkan dana sebanyak RM700,000 di bawah inisiatif Dana Kandungan Kreatif (DKK) melalui MyCreative Ventures. Jumlah ini, yang meningkat lebih dua kali ganda berbanding RM320,000 pada AIM terdahulu, akan diagihkan kepada 11 pemenang kategori tertentu bagi tujuan penerbitan, promosi dan pengedaran kandungan muzik yang berkualiti dan berdaya saing. Dana berkenaan akan disalurkan menerusi syarikat rakaman yang memenangi kategori terpilih bagi menjana impak ekonomi yang lebih kukuh dalam ekosistem industri muzik negara.

Pengerusi RIM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur AIM24, Rosmin Hashim berkata, “AIM24 kekal sebagai platform utama untuk memberi pengiktirafan kepada karya-karya muzik unggul dari tanah air. Tambahan kategori seperti ‘Lagu Perpaduan Terbaik’ dan ‘Lagu Tradisional Terbaik’ menzahirkan semangat Malaysia yang majmuk, manakala ‘Kolaborasi Artis Tempatan Bersama Artis/Komposer Luar Negara Terbaik’ memberi spotlight kepada bakat Malaysia yang berjaya menembusi pasaran antarabangsa.” Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Kementerian Komunikasi dan MyCreative Ventures atas penambahan dana DKK yang dianggap sebagai pemangkin kepada pertumbuhan muzik digital Malaysia. Dalam masa sama, kerjasama sulung bersama RTM turut diraikan sebagai langkah strategik memperluas capaian AIM24 kepada khalayak yang lebih luas.

Tempoh pencalonan AIM24 telah dibuka bermula 4 Jun hingga 4 Julai 2025, melibatkan lagu dan album dalam Bahasa Malaysia, Inggeris, Cina dan India yang diterbitkan di Malaysia dalam tempoh 1 Julai 2022 hingga 31 Disember 2024. Penyertaan hanya dibuka kepada ahli RIM dan semua pencalonan hendaklah dihantar secara dalam talian melalui laman web rasmi di www.aim1.org.my/online-submission-2025/.

Sebanyak 31 kategori anugerah akan dipertandingkan dalam AIM24, merangkumi kategori utama seperti Artis Baharu Terbaik, Vokal Lelaki Terbaik, Vokal Wanita Terbaik, Lagu Terbaik, Album Terbaik, serta kategori genre spesifik seperti Lagu Pop, Rock, Rap/Hip Hop, dan Lagu Tradisional. Selain itu, beberapa anugerah khas turut dipersembahkan termasuk Anugerah Sri Wirama sebagai penghormatan tertinggi terhadap sumbangan luar biasa dalam industri. Turut diperkenalkan adalah kategori pra-anugerah yang mengambil kira aspek teknikal dan pencapaian digital seperti Lagu Paling Tinggi Di Strim dan Video Muzik Rasmi Paling Tinggi Ditonton Di YouTube.

Bagi memastikan integriti dan ketelusan proses penghakiman, sistem penjurian AIM24 akan dikendalikan oleh panel bebas yang terdiri daripada tokoh-tokoh berpengalaman dalam industri muzik tempatan. Ketua Juri akan dilantik oleh Jawatankuasa Penganjur, manakala keputusan akhir akan diaudit secara rasmi sebelum diumumkan. Penerima Anugerah Sri Wirama pula akan dipilih secara eksklusif oleh Majlis RIM. Lima calon akhir bagi setiap kategori dijangka diumumkan pada Ogos 2025.

Ketua Pengarah Penyiaran RTM, Datuk Suhaimi Sulaiman menyatakan rasa bangga atas pelantikan RTM sebagai penyiar rasmi AIM24. Beliau menyifatkan AIM sebagai satu platform penting yang bukan sahaja meraikan pencapaian, malah memperkukuh kekuatan muzik sebagai alat penyatuan masyarakat. Menurutnya, “Sebagai penyiar nasional, kami komited untuk menonjolkan hasil kerja kreatif tempatan kepada rakyat, di samping menyokong pertumbuhan ekosistem muzik negara. Kolaborasi dengan RIM ini adalah selari dengan visi RTM untuk mengangkat kandungan tempatan ke peringkat lebih tinggi.”

Tambah beliau lagi, kerjasama ini diharapkan mampu menyemarakkan semula semangat industri muzik tanah air serta memberi inspirasi kepada generasi muda untuk terus berkarya. RTM teruja untuk menyampaikan pengalaman AIM24 yang lebih bermakna dan berkelas kepada seluruh rakyat Malaysia, sejajar dengan statusnya sebagai anugerah muzik paling berprestij di negara ini.

Untuk maklumat lanjut mengenai AIM24 dan proses pencalonan, sila layari www.aim1.org.my.