LAZIMNYA, ada banyak mushaf al-Quran tersusun kemas di rak-rak di dalam masjid mahupun surau. Maka sesiapa bebas mengambil dan membaca mushaf berkenaan apabila masuk ke dalam rumah ALLAH itu. Namun, ada juga orang yang lebih selesa membaca al-Quran menerusi aplikasi al-Quran yang terdapat dalam telefon pintar masing-masing. Apakah hukum membaca al-Quran menerusi aplikasi di telefon bimbit sedangkan ada banyak mushaf al-Quran di rak-rak berhampiran? Sebelum menjawab tentang persoalan itu, perlu difahami bahawa mushaf ialah sebuah kitab yang dikumpulkan padanya semua ayat al-Quran dalam bentuk cetakan secara jelas. Maka, majoriti para ulama menyatakan, diwajibkan berada dalam keadaan berwuduk ketika menyentuhnya. Malah, hukum membacanya adalah diutamakan berbanding yang lain. Adapun membaca al-Quran pada aplikasi al-Quran telefon pintar juga tidak menjadi kesalahan kerana ia adalah ayat-ayat al-Quran, kemudahan yang ALLAH SWT kurniakan. Pandangan itu dinukilkan daripada jumhur ulama kontemporari seperti Sheikh Dr Soleh al-Munajjid, Sheikh Dr Abdul Rahman Nasir al-Barak dan selainnya. Di samping itu, tidak mengapa jika membacanya dalam keadaan tanpa wuduk, juga tiada masalah jika menyentuhnya. Namun, perlu difahami bahawa menjaga hak al-Quran pada hukum asalnya adalah berada dalam keadaan berwuduk sebagai adabnya. ***Ustaz Mustafar Mohd Suki merupakan pendakwah dan penulis. Sumber Post navigation Bolehkah cuci telekung guna mesin basuh? Restu, doa ibu bapa penting untuk dapatkan reda ALLAH