Kemuncak Konsert Majlis Tertinggi Rockqueen
Selepas mencipta fenomena dengan menghimpunkan lebih 70,000 peminat di Kuala Lumpur, Singapura dan Pulau Pinang, Ratu Rock Malaysia Ella, bakal melabuhkan tirai tahun 2026 menerusi sebuah konsert berskala besar bertajuk “Majlis Tertinggi Rockqueen Ella iaitu “Sidang Penutup”. Konsert kemuncak ini dijadualkan berlangsung pada 5 Disember 2026 bertempat di Unifi Arena, Bukit Jalil.
Penampilan Istimewa Yuna Dan Datuk Ziana Zain
Lebih mengujakan, malam penutup ini bukan sekadar persembahan solo. Sidang Penutup bakal diserikan dengan penampilan istimewa dua vokalis tersohor negara, iaitu Yuna dan Datuk Ziana Zain. Kehadiran Yuna yang sinonim dengan muzik kontemporari bertaraf antarabangsa dijangka menyuntik dimensi segar apabila digabungkan bersama identiti rock ikonik Ella. Sementara itu, Datuk Ziana Zain kembali berkongsi pentas selepas kemunculan hebatnya di edisi Pulau Pinang, memberi peluang keemasan kepada peminat di ibu kota yang terlepas menyaksikan keserasian mereka berdua.

Inisiatif Interaktif Dan Jualan Tiket
Pengumuman rasmi ini merungkai teka-teki selepas Ella memberikan bayangan mengenai hasrat tersebut ketika meraikan penerimaan Anugerah Sri Wirama di AIM25 minggu lalu. Hasrat spontan yang disuarakan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Hitman Group, En. Rohit Rampal, terus segera merialisasikan sebagai tanda penghargaan buat para peminat.
“Tahun ini memang satu perjalanan yang sangat luar biasa. Setiap perjalanan pasti ada penghujungnya. Ella mahu Sidang Penutup menjadi satu malam yang benar-benar istimewa. Kalau kita sudah mulakan perjalanan ini bersama, biarlah kita tutup tirainya juga bersama,” ujar Ella pada sidang media di The Saujana Hotel.
Satu kelainan utama untuk persembahan kali ini adalah pengenalan inisiatif “Audience Choice”. Menerusi penganjuran bersama Hitman Solutions dan Rockqueen, peminat diberikan kuasa untuk memainkan peranan dalam menentukan tema persembahan, senarai lagu serta beberapa elemen kejutan. Pendekatan interaktif ini selari dengan konsep asal Majlis Tertinggi Rockqueen yang mahu meletakkan peminat sebagai nadi utama penganjuran.

Bagi peminat yang tidak sabar untuk menjadi sebahagian daripada sejarah dan mencipta kenangan terakhir bagi tahun ini, tiket akan mula dijual secara rasmi pada 22 Oktober 2026 (Khamis). Harga tiket bermula daripada RM179 hingga RM499 dan pembelian boleh dibuat terus menerusi laman web rasmi di www.hitmanlive.com.













