Pentas Anugerah Industri Muzik ke-25 (AIM25) bakal mencipta sejarah tersendiri apabila sambutan Jubli Peraknya dibawa ke Sarawak buat pertama kali dengan Borneo Convention Centre Kuching (BCCK) dipilih sebagai lokasi malam kemuncak pada 26 September 2026.

Edisi kali ini bakal menjadi pertemuan besar penggiat industri muzik tanah air apabila menghimpunkan artis daripada pelbagai generasi dan genre untuk meraikan karya serta pencapaian terbaik muzik Malaysia.

Awal Ashaari dan Scha Alyahya akan bergandingan bersama personaliti TVS, Sheera Abang Mansur untuk mengendalikan acara berprestij tersebut.

Malam AIM25 turut menjanjikan persembahan daripada nama-nama popular seperti Dato’ Sri Siti Nurhaliza, Hael Husaini, Hafiz Suip, Akim Ahmad, Adira Suhaimi, Marsha Milan, Amir Masdi, Azlan Typewriter, Mimifly, Estranged dan HUJAN.

Turut mengambil bahagian ialah Alena Murang, Anggrek, Bunga, Firdhaus, Luqman Podolski serta artis Indonesia, Fajar Noor, yang menambah elemen serantau kepada sambutan kali ini.

Pentas AIM25 juga akan memberi ruang kepada generasi baharu apabila empat finalis kategori Artis Baharu Terbaik, Rezza Shah, Ary Hussin, Qal-G dan Yusuf Kassim dijadualkan membuat persembahan pada malam tersebut.

Selain persembahan muzik, acara berkenaan akan dimeriahkan oleh barisan penyampai anugerah daripada pelbagai cabang industri hiburan.

Antara yang disenaraikan ialah Aina Abdul, Amir Jahari, Wany Hasrita, Kaka Azraff, Yonnyboii, Iman Troye, Noraniza Idris, Lah Ahmad, Hazama, Dr. Soo Wincci, Rabbit Mac, Stacy dan Mila Jirin.

Penganjuran AIM25 di Sarawak turut menerima sokongan kerajaan dan industri. Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP) menyediakan Geran Acara Pelancongan sebanyak RM1 juta bagi menyokong penganjuran edisi bersejarah tersebut.

Kementerian Komunikasi pula menyediakan peruntukan RM950,000 menerusi Dana Kandungan Kreatif (DKK), yang akan disalurkan kepada 16 pemenang AIM25 melalui MyCreative Ventures (MyCV).

AirAsia tampil sebagai Syarikat Penerbangan Rasmi, Orkid sebagai Air Minuman Rasmi manakala BCCK menjadi Lokasi Rasmi AIM25.

Penganjuran tersebut turut disokong AirBorneo, Kuala Cola, Maxim, Grand Margherita Hotel, Riverside Majestic Hotel, Riverside Majestic Astana Wing dan Sheraton Kuching sebagai rakan strategik.

ERA, HITZ, MY FM dan RAAGA di bawah Astro Radio bersama CATS FM pula menjadi Rakan Radio Rasmi bagi membantu memperluaskan jangkauan acara kepada peminat muzik di seluruh negara.

Segmen karpet merah AIM25 akan bermula pada jam 8 malam sebelum acara utama membuka tirai pada jam 9 malam.

Peminat yang tidak berpeluang berada di Kuching masih boleh mengikuti malam kemuncak tersebut menerusi siaran langsung TVS Saluran 122 dan TVS Inspire.

Selepas 25 edisi, penganjuran pertama AIM di Sarawak bukan sahaja menjadi simbol perjalanan panjang anugerah tersebut, malah membuka lembaran baharu dalam meraikan kepelbagaian dan perkembangan industri muzik Malaysia.