KUALA LUMPUR, 28 OGOS 2026 – SBH Marine Holdings Berhad (“SBH Marine” atau “Kumpulan”), pengeluar makanan laut sejuk beku bersepadu secara vertikal yang terlibat terutamanya dalam penternakan udang akuakultur, pemprosesan serta penjualan produk makanan laut sejuk beku, kembali mencatatkan keuntungan bagi suku kedua yang berakhir pada 30 Jun 2026 (“Suku Ke-2 TK2026”), selepas merekodkan kerugian pada suku pertama tahun kewangan 2026. Kumpulan mencatatkan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM0.63 juta dan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM0.51 juta, berbanding kerugian sebelum cukai (LBT) sebanyak RM2.38 juta dan kerugian selepas cukai (LAT) sebanyak RM2.46 juta pada Suku Pertama TK2026. Hasil turut meningkat 9.49% secara suku ke suku (QoQ) kepada RM42.94 juta daripada RM39.22 juta pada suku sebelumnya.

Prestasi lebih baik pada Suku Ke-2 TK2026 didorong oleh peningkatan dalam operasi serta pergerakan kadar pertukaran asing yang lebih menggalakkan. Margin keuntungan kasar Kumpulan meningkat sebanyak 1.29 mata peratusan kepada 9.79%, berbanding 8.50% pada Suku Pertama TK2026, mencerminkan realisasi jualan yang lebih baik secara keseluruhan. Hasil daripada aktiviti perdagangan saudagar meningkat 32.76% QoQ kepada RM13.77 juta daripada RM10.37 juta, manakala hasil segmen pemprosesan makanan laut meningkat 2.02% kepada RM28.93 juta. Dalam tempoh sama, Kumpulan turut merekodkan keuntungan bersih pertukaran asing sebanyak RM0.56 juta, berbanding kerugian bersih pertukaran asing sebanyak RM0.55 juta pada suku sebelumnya.

Dari perspektif tahun ke tahun, hasil bagi Suku Ke-2 TK2026 susut 3.08% kepada RM42.94 juta, terutamanya akibat kekangan bekalan bahan mentah yang memberi kesan kepada segmen pemprosesan makanan laut yang mempunyai margin lebih tinggi. Namun begitu, PBT meningkat kepada RM0.63 juta daripada RM0.62 juta, manakala PAT bertambah 7.63% kepada RM0.51 juta berbanding RM0.47 juta dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya. Hasil daripada perdagangan saudagar pula melonjak 64.90% YoY kepada RM13.77 juta, sekali gus membantu mengimbangi kesan daripada jumlah pemprosesan yang lebih rendah dan menunjukkan kepentingan keupayaan sumber serta aktiviti perdagangan Kumpulan ketika berdepan kekangan bekalan.

Kumpulan menjangkakan momentum pemulihan akan terus disokong oleh peningkatan beransur-ansur dalam ketersediaan udang domestik. Bekalan daripada ladang domestik mula menunjukkan kestabilan pada Suku Ke-2 TK2026 dan pihak pengurusan menjangkakan pemulihan yang lebih menyeluruh bermula pada Suku Ketiga TK2026. Pada masa sama, SBH Marine terus mempergiat pembangunan Ladang Selinsing, dengan sebanyak 62 kolam udang telah siap dan sedia untuk penanaman. Blok G yang direka untuk menempatkan 26 kolam pula telah mencapai kira-kira 60% kemajuan dalam tempoh yang dikaji. Pengembangan ini dijangka dapat meningkatkan kawalan Kumpulan terhadap sumber bekalan secara berperingkat serta mengurangkan kebergantungan kepada penternak akuakultur pihak ketiga.

Mengulas mengenai prestasi dan prospek Kumpulan, Pengarah Urusan Kumpulan SBH Marine Holdings Berhad, Tan Boo Nam, berkata, “Prestasi pada suku kedua tahun kewangan 2026 menunjukkan bahawa langkah-langkah yang telah kami laksanakan mula memberikan hasil positif terhadap operasi. Kami berjaya kembali mencatatkan keuntungan selepas mengalami kerugian pada suku pertama, disokong oleh peningkatan hasil serta margin keuntungan kasar yang lebih baik. Pemulihan ini amat bermakna kerana ia dicapai ketika bekalan bahan mentah masih terhad, sekali gus memberi keyakinan bahawa terdapat ruang untuk penambahbaikan yang lebih kukuh apabila keadaan bekalan kembali normal.”

Beliau berkata, keutamaan Kumpulan kini adalah memastikan momentum pemulihan dapat diterjemahkan kepada pertumbuhan pendapatan yang lebih konsisten. Dengan peningkatan bekalan udang domestik serta perkembangan berterusan Ladang Selinsing, SBH Marine menjangkakan kawalan yang lebih baik terhadap ketersediaan bahan mentah, kualiti produk dan perancangan hasil tuaian. Pada masa sama, fleksibiliti yang ditawarkan melalui aktiviti perdagangan saudagar, pengurusan perolehan serta pengurusan pendedahan pertukaran asing secara berdisiplin dijangka dapat meningkatkan daya tahan operasi dan menyokong pertumbuhan Kumpulan dalam suku-suku akan datang.

Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2026 (“1H TK2026”), SBH Marine merekodkan hasil sebanyak RM82.17 juta serta LAT kumulatif sebanyak RM1.96 juta, mencerminkan kesan daripada prestasi Suku Pertama TK2026 yang lebih lemah sebelum Kumpulan kembali mencatatkan keuntungan pada suku kedua. Sehingga 30 Jun 2026, Kumpulan mempunyai tunai dan setara tunai sebanyak RM28.16 juta, manakala jumlah pinjaman dan liabiliti pajakan berada pada kira-kira RM15.57 juta. Jumlah ekuiti Kumpulan pula berjumlah RM126.40 juta, menunjukkan kedudukan kewangan yang terus dipantau dengan teliti bagi menyokong operasi dan rancangan pengembangan pada masa hadapan.

Melangkah ke hadapan, SBH Marine kekal berhati-hati namun positif terhadap prospeknya bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026. Kumpulan mengakui bahawa permintaan udang global, harga jualan, keadaan logistik serta turun naik kadar pertukaran asing akan terus menjadi antara faktor utama yang mempengaruhi prestasi. Bagaimanapun, pemulihan beransur-ansur dalam ketersediaan bahan mentah, pembangunan berterusan Ladang Selinsing serta pendekatan berdisiplin terhadap pengurusan kos dan risiko pertukaran asing dijangka menyokong peningkatan prestasi operasi secara berperingkat. Dalam jangka panjang, pengembangan kapasiti pemprosesan makanan laut yang dirancang dijangka dapat meningkatkan keupayaan Kumpulan untuk mengendalikan output akuakultur yang lebih tinggi selaras dengan perkembangan operasi huluannya.