Dalam dunia kecantikan hari ini, ramai semakin memberi perhatian kepada penampilan mata kerana ia menjadi antara elemen penting yang membentuk keseluruhan wajah. Ada yang mencari perubahan untuk mendapatkan mata yang lebih simetri atau wajah yang kelihatan lebih segar. Namun, tidak semua perubahan pada bahagian mata berkaitan dengan kecantikan semata-mata kerana kelopak mata jatuh atau ptosis boleh menjadi petanda kepada masalah kesihatan yang memerlukan perhatian. Berbeza daripada isu kosmetik biasa, ptosis bukan sahaja memberi kesan kepada penampilan tetapi juga boleh mengganggu fungsi mata. Apabila kelopak mata atas berada pada kedudukan lebih rendah daripada biasa, keadaan ini boleh menyebabkan penglihatan terganggu, mata mudah penat dan rasa tidak selesa ketika melakukan aktiviti harian. Berdasarkan Tinjauan Mata Kebangsaan III, sekitar 13.5 peratus orang dewasa terutama mereka yang berusia lebih 60 tahun berkemungkinan mengalami masalah ptosis. Menurut Dr Nazila Ahmad Azli, Pakar Perunding Oftalmologi dan Pakar Bedah Okuloplastik di Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV), ptosis merupakan keadaan yang agak biasa berlaku dan merangkumi kira-kira 8 hingga 12 peratus daripada kes kelopak mata yang dikendalikan olehnya. Walaupun ramai melihat masalah ini sebagai perubahan pada rupa wajah, beliau menjelaskan bahawa pemeriksaan yang tepat sangat penting kerana ptosis boleh melibatkan masalah pada otot kelopak mata, saraf atau keadaan kesihatan lain. “Secara ringkasnya, ptosis bermaksud keadaan kelopak mata atas yang layu atau jatuh. Kelopak mata atas berfungsi melalui otot yang mengawal pergerakan buka dan tutup mata, dan ptosis berlaku apabila sama ada otot atau saraf yang menghubungkannya gagal berfungsi dengan baik,” jelas Dr Nazila. Kelopak mata atas sebenarnya dikawal oleh sistem yang melibatkan otot dan saraf tertentu. Otot levator palpebrae superioris memainkan peranan untuk mengangkat kelopak mata atas, manakala otot orbicularis oculi membantu proses menutup mata. Kedua-dua otot ini pula dikawal oleh saraf kranial yang menghantar isyarat daripada otak untuk memastikan pergerakan kelopak mata berjalan dengan baik. Ptosis boleh berlaku pada sebelah mata atau kedua-dua belah mata, sama ada sejak lahir atau muncul apabila seseorang meningkat usia. Ptosis kongenital biasanya berlaku apabila otot pengangkat kelopak mata tidak berkembang dengan sempurna. Sementara itu, ptosis yang berlaku kemudian dalam kehidupan sering dikaitkan dengan faktor penuaan, kecederaan, kesan daripada pembedahan mata terdahulu, penggunaan kanta lekap dalam tempoh lama, tabiat menggosok mata atau masalah kesihatan tertentu yang menjejaskan saraf dan otot. Masalah ini juga sering disalah anggap sebagai hooded eyes atau lebihan kulit pada kelopak mata. Walaupun kedua-duanya kelihatan hampir sama, terdapat perbezaan yang ketara. Ptosis berlaku apabila kedudukan kelopak mata atas jatuh akibat masalah pada otot atau saraf, manakala dermatochalasis pula berlaku apabila terdapat lebihan kulit atau lemak yang menyebabkan kelopak mata kelihatan berat walaupun kedudukan sebenar kelopak mata masih normal. Disebabkan persamaan pada rupa luaran, ramai menganggap ptosis sama seperti prosedur kosmetik kelopak mata. Namun, kedua-duanya mempunyai tujuan yang berbeza. Blepharoplasty atau pembedahan kelopak mata biasanya dilakukan untuk membuang atau menyusun semula lebihan kulit, lemak dan tisu bagi memperbaiki penampilan. Sebaliknya, pembedahan pembetulan ptosis memberi fokus kepada pemulihan kedudukan serta fungsi otot yang membantu mengangkat kelopak mata. Menurut Dr Nazila, kedua-dua prosedur ini kadangkala boleh dilakukan bersama bergantung kepada keadaan pesakit. Namun, perkara paling penting adalah mengenal pasti punca sebenar sebelum menjalani sebarang rawatan. “Ramai yang mungkin menganggap pembedahan pembetulan ptosis sama seperti pembedahan kosmetik kelopak mata kerana kedua-duanya boleh memperbaiki penampilan seseorang. Namun, kedua-dua prosedur ini membetulkan struktur kelopak mata yang berbeza. Dalam sesetengah keadaan, kedua-dua pembedahan ini boleh saling melengkapi dan perlu dilakukan secara serentak bagi mencapai hasil yang optimum,” katanya. Sebelum rawatan dilakukan, pesakit perlu menjalani pemeriksaan terperinci bagi menentukan punca dan tahap masalah tersebut. Pemeriksaan biasanya melibatkan sejarah perubatan, ukuran kedudukan kelopak mata, penilaian fungsi otot pengangkat, pemeriksaan anak mata, pergerakan mata serta ujian medan penglihatan jika diperlukan. Dr Nazila turut mengingatkan bahawa ptosis yang berlaku secara tiba-tiba tidak boleh dipandang ringan kerana ia mungkin berkait dengan masalah kesihatan yang lebih serius. Keadaan seperti aneurisma otak, strok atau diseksi arteri karotid antara kemungkinan yang perlu diberi perhatian dan memerlukan pemeriksaan perubatan segera. “Ptosis yang berlaku secara tiba-tiba memerlukan perhatian perubatan segera. Keadaan ini boleh menjadi petanda kepada masalah kesihatan yang lebih serius seperti aneurisma otak, strok atau diseksi arteri karotid,” jelasnya. Rawatan ptosis bergantung kepada punca dan tahap keadaan pesakit. Bagi kes ringan, pemantauan berkala mungkin mencukupi, manakala kes yang lebih serius mungkin memerlukan pembedahan pembetulan bagi mengembalikan kedudukan kelopak mata, memperbaiki penglihatan dan memberikan keseimbangan pada penampilan wajah. Selain mendapatkan rawatan yang sesuai, penjagaan mata harian juga penting untuk mengurangkan risiko masalah berkaitan mata. Orang ramai digalakkan mengelakkan tabiat menggosok mata terlalu kerap, menjaga kebersihan kanta lekap, berehat daripada penggunaan skrin dalam tempoh panjang serta mendapatkan rawatan awal jika mengalami masalah mata kering. Masalah kelopak mata jatuh tidak sepatutnya dianggap sekadar tanda keletihan atau perubahan akibat usia. Jika keadaan ini mula menjejaskan penglihatan, keselesaan atau aktiviti harian, pemeriksaan daripada pakar mata amat digalakkan. “Jangan ambil mudah tentang ptosis kerana membiarkannya tanpa rawatan boleh menyebabkan gangguan penglihatan, ketidakselesaan yang berpanjangan serta mungkin menyembunyikan masalah kesihatan serius seperti kerosakan saraf, strok, aneurisma otak atau penyakit neuromuskular. Jika ragu-ragu, dapatkan bantuan perubatan daripada hospital terdekat anda,” kata Dr Nazila. Pusat Perubatan Sunway Velocity terletak di Lingkaran SV, Sunway Velocity. Untuk pertanyaan umum, orang ramai boleh menghubungi +603 9772 9191 atau e-mel ke smcv-enquiry@sunway.com.my. Maklumat lanjut mengenai Pusat Perubatan Sunway Velocity boleh didapati menerusi laman web www.sunwaymedicalvelocity.com.my serta media sosial rasmi Sunway Medical Centre Velocity. Post navigation Blossom Rally Pickleball 2026 Meriahkan Arena Sukan, Lebih 500 Peserta Sertai Pertandingan