TV AlHijrah terus mengukuhkan kedudukannya sebagai penyiar Islam negara apabila meraikan ulang tahun penubuhannya yang ke-16 dengan pelancaran AlHijrah Media Nexus (AMN), sebuah pusat sokongan operasi baharu yang terletak di Cyberjaya. Pelancaran kemudahan strategik ini menandakan satu lagi pencapaian penting dalam perjalanan TV AlHijrah, selaras dengan usaha berterusan organisasi untuk memperkasakan keupayaan penyiaran serta memastikan kesinambungan operasi yang lebih cekap, moden dan berdaya tahan. Majlis pelancaran AMN telah disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Datuk Zulkifli Hassan, dan disaksikan oleh Pengerusi TV AlHijrah, Ahli Lembaga Pengarah serta warga kerja organisasi. Dibangunkan sebagai sebahagian daripada agenda transformasi organisasi, AMN berfungsi sebagai pusat sokongan operasi yang dilengkapi dengan infrastruktur moden dan studio mini bagi menyokong penerbitan kandungan serta memastikan penyampaian siaran dapat diteruskan secara konsisten dalam apa jua keadaan. Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris berkata, ulang tahun ke-16 ini bukan sekadar meraikan kejayaan yang dicapai sepanjang lebih sedekad penubuhan organisasi, malah menjadi titik permulaan kepada transformasi yang lebih menyeluruh. Menurut beliau, pelancaran AMN mencerminkan kesediaan TV AlHijrah untuk bergerak seiring dengan perkembangan teknologi dan perubahan landskap media yang semakin pesat, sekali gus memperkukuh kesiapsiagaan organisasi dalam menghadapi cabaran masa hadapan. Beliau turut menegaskan bahawa dalam era penyiaran digital, kekuatan sesebuah organisasi bukan hanya bergantung kepada kandungan yang dihasilkan, tetapi juga kepada keupayaan sistem dan infrastrukturnya untuk beroperasi secara stabil, selamat dan berkesan. Justeru, AMN dilihat sebagai satu pelaburan strategik yang akan membantu meningkatkan kecekapan operasi serta memastikan perkhidmatan penyiaran TV AlHijrah terus diyakini oleh masyarakat. Seiring dengan pelancaran AMN, TV AlHijrah turut memperkenalkan Bincang Niaga 2026, sebuah inisiatif khas yang bertujuan membantu usahawan, syarikat dan organisasi memanfaatkan kekuatan ekosistem media TV AlHijrah untuk memperkukuh jenama, meningkatkan keterlihatan produk dan memperluaskan capaian pasaran. Program yang berlangsung dari 22 Jun hingga 31 Julai 2026 itu menawarkan peluang kepada peserta untuk meneroka pelbagai platform promosi termasuk televisyen, digital dan media sosial, selain menerima sokongan strategik daripada pasukan profesional TV AlHijrah bagi merancang kempen pemasaran yang lebih berkesan. Sebagai galakan, peserta turut berpeluang menikmati diskaun istimewa sehingga 40 peratus tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan. Dalam meraikan ulang tahun ke-16, TV AlHijrah juga membawakan pelbagai program istimewa bersempena Awal Muharam yang mengangkat nilai hijrah, ilmu, perpaduan, kasih sayang dan pembangunan ummah. Antara pengisian yang disediakan termasuk siaran khas Doa Akhir Tahun dan Doa Awal Tahun, Dakwah Live: Hijrah Ummah, Assalamualaikum Khas Awal Muharam, Dari Hati: Wanita, telemovie Sujudku serta drama pendek Bukan Kerana Itu yang dijadualkan sepanjang tempoh sambutan. Dengan pelancaran AlHijrah Media Nexus dan pelbagai inisiatif baharu yang diperkenalkan, TV AlHijrah membuktikan komitmennya untuk terus berkembang sebagai platform media Islam yang relevan, progresif dan berimpak tinggi. Selepas 16 tahun berkhidmat kepada masyarakat, TV AlHijrah kini melangkah ke fasa baharu yang lebih dinamik dengan fokus kepada transformasi digital, kecemerlangan operasi dan penyampaian kandungan berkualiti demi memenuhi keperluan penonton serta industri penyiaran yang sentiasa berkembang. Post navigation DARIPADA UNIVERSE QODRAT, ‘BADUT GENDONG’ KETENGAHKAN SISI GELAP MENYERAMKAN SEORANG PENGHIBUR JALANAN, TEMUI PENONTON MALAYSIA MULAI 25 JUN INI