Selepas sekian lama mencipta magis dalam dunia seni, M. Nasir kini melangkah ke sebuah dimensi baharu apabila buat pertama kalinya bergandingan bersama isterinya, Marlia Musa menerbitkan sebuah teater muzikal berjudul Mansur & Liu. Karya berkenaan dijangka menjadi antara naskhah seni paling dinanti tahun ini, apatah lagi ia lahir daripada sentuhan kreatif dua figura seni yang cukup disegani dalam industri tempatan.

Menambahkan lagi keterujaan ramai, sebuah sesi pencarian khas bertajuk M. Nasir Mencari Liu akan berlangsung pada 15 dan 16 Mei 2026 di Club Chinois, LG Floor, JW Marriott Hotel Kuala Lumpur, Jalan Bukit Bintang bermula jam 3 petang. Sesi terbuka itu diwujudkan bagi mencari individu yang memiliki aura dan karakter “Liu” — seorang wanita dengan kelembutan tutur bicara, keindahan gerak tari serta suara yang lunak memikat untuk dipadankan bersama watak Mansur.

Menurut Marlia Musa, produksi tersebut bukan sekadar mahu mengetengahkan bakat nyanyian semata-mata, sebaliknya mencari individu yang mampu menghidupkan keseluruhan jiwa karakter di atas pentas. Malah, peluang itu juga membuka ruang kepada bakat-bakat baharu untuk menyerlah dalam dunia teater muzikal tempatan.

Calon yang berjaya memikat hati pihak produksi akan dipanggil semula pada hari berikutnya bagi menjalani fasa pemilihan seterusnya. Pendekatan unik ini sekali gus memberi gambaran bahawa Mansur & Liu bakal hadir sebagai sebuah pementasan yang sarat emosi, estetika dan nilai seni yang mendalam.

“Liu, menjelmalah. M. Nasir mencarimu,” menjadi ungkapan puitis yang kini mula mencuri perhatian ramai, seolah-olah mengajak pencinta seni untuk menjadi sebahagian daripada perjalanan magis teater tersebut.

Borang untuk calon ujibakat:
https://forms.gle/TzDe8oV1s2X3Q8MTA

INFORMASI M.NASIR MENCARI LIU
TEATER MUZIKAL MANSUR & LIU
ACARA: M. Nasir Mencari Liu
TARIKH: 15 Mei 2026 (ujibakat terbuka) , 3 petang
16 Mei 2026 (panggilan semula), 2 petang
LOKASI: Club Chinois, LG Floor, JW Marriott Hotel Kuala Lumpur, Jalan Bukit
Bintang
MASA: 3 Petang

*CALON TERPILIH AKAN DIHUBUNGI UNTUK HADIR KEMBALI PADA 16 MEI
2026