Penyanyi berbakat kelahiran Sarawak, Sulaiman Usop, kembali mewarnai industri muzik tempatan menerusi pelancaran single terbaharu berjudul “Pergilah”, sebuah karya yang mengetengahkan emosi mendalam tentang cinta, pengorbanan dan perpisahan. Lagu ini memperlihatkan evolusi muzik Sulaiman yang tampil lebih matang dari segi vokal, penceritaan dan penyampaian emosi, sekali gus mengukuhkan lagi namanya dalam arena muzik tempatan.

Aktif dalam dunia hiburan khususnya di Sarawak, Sulaiman Usop sebelum ini dikenali menerusi pelbagai persembahan pentas selain pernah meraih pengiktirafan sebagai pemenang anugerah Vokal Mantap di Cats FM Awards. Beliau juga pernah tampil dengan single “Tentang Dia” pada tahun 2019. Kini, menerusi “Pergilah”, Sulaiman tampil dengan karya yang lebih dekat dengan realiti masyarakat dan mampu menyentuh hati pendengar dari pelbagai latar belakang.

Menariknya, single ini merupakan hasil kolaborasi dua komposer kreatif dari dua negara iaitu Irvan Hamdan dari Sarawak dan Gunan Syah, bekas anggota kumpulan popular Indonesia, ST12. Gabungan idea dan sentuhan muzik dari Malaysia dan Indonesia berjaya menghasilkan sebuah lagu yang sarat dengan elemen emosi serta naratif yang kuat, namun masih mudah diterima pendengar arus perdana.

Dari segi jalan cerita, “Pergilah” mengisahkan tentang percintaan sepasang kekasih yang terpaksa berpisah akibat tentangan keluarga kerana perbezaan bangsa dan agama. Menurut Sulaiman, muzik video lagu tersebut menggambarkan konflik emosi apabila wanita terbabit melarikan diri dalam persalinan pengantin demi mencari kekasihnya, namun akhirnya lelaki itu terpaksa reda apabila wanita tersebut memilih untuk memenuhi kehendak keluarga. Penceritaan yang dekat dengan realiti masyarakat menjadikan lagu ini lebih menyentuh dan mudah difahami ramai.

Proses penerbitan lagu ini turut melibatkan kerjasama rentas negara apabila rakaman vokal dilakukan di Malaysia manakala proses mixing dan mastering disempurnakan di Jakarta, Indonesia. Dari sudut susunan muzik pula, “Pergilah” mengetengahkan melodi santai dan mudah dihayati, menjadikannya sesuai untuk pelbagai lapisan pendengar serta berpotensi menjadi lagu siulan ramai.

Single “Pergilah” diedarkan secara digital dengan pengurusan hak cipta lagu dan lirik dikendalikan oleh Luncai Emas bagi pihak komposer Irvan Hamdan, yang kini bernaung sebagai komposer eksklusif di bawah syarikat tersebut. Irvan turut menyifatkan hubungan baik bersama Sulaiman sebagai antara faktor utama terhasilnya karya ini, selain melihat Luncai Emas sebagai platform penting untuk memperluaskan karya beliau ke pasaran muzik Malaysia.

Audio rasmi dan muzik video “Pergilah” mula dilancarkan di semua platform penstriman digital serta saluran YouTube rasmi Luncai Emas bermula 8 Mei lalu. Dengan kekuatan emosi dan jalan cerita yang dekat dengan kehidupan masyarakat, lagu ini dijangka mampu memberi impak besar kepada pendengar serta berpotensi dijadikan runut bunyi drama tempatan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.