Stevan Pasaribu kembali menyentuh emosi pendengar menerusi pelancaran single terbaharu berjudul “Lama Tak Bermalam Minggu”, sebuah karya yang mengangkat realiti kehidupan ramai orang dewasa hari ini yang terperangkap dalam rutin harian, sibuk bekerja namun diam-diam menyimpan rasa sunyi yang sukar diluahkan. Lagu ini hadir sebagai refleksi emosi tentang kesepian, harapan dan keinginan untuk kembali merasakan kehangatan dalam hidup. “Lama Tak Bermalam Minggu” mengisahkan tentang seseorang yang menjalani kehidupan secara monoton, keluar bekerja sejak pagi dan pulang lewat malam ke rumah yang kosong tanpa ada insan menanti. Dalam kesibukan yang berulang itu, perlahan-lahan muncul rasa hampa dan kerinduan terhadap kehadiran seseorang yang mampu memberikan makna dalam kehidupan sehari-hari. Melalui lirik yang sederhana tetapi dekat dengan realiti, lagu ini berjaya menggambarkan emosi sunyi yang sering dialami ramai individu moden. Bagi memperkuatkan nuansa muzik dan emosi dalam karya ini, Stevan turut bekerjasama dengan Kennel Music dari Stockholm, Sweden. Kolaborasi tersebut membawa warna muzik yang lebih segar dengan sentuhan antarabangsa serta gabungan beberapa potongan lirik berbahasa Inggeris yang menambahkan lagi kedalaman rasa dalam lagu tersebut. Muzik video rasmi “Lama Tak Bermalam Minggu” pula memaparkan perjalanan seorang lelaki yang terjebak dalam rutin kehidupan tanpa arah sehingga secara tidak sengaja bertemu dengan seorang wanita yang perlahan-lahan mengubah suasana hidupnya. Pertemuan itu menjadi simbol harapan baharu yang hadir di tengah kesunyian, sekali gus membangkitkan kembali keinginan untuk dicintai dan menikmati momen “malam minggu” yang sebelum ini terasa kosong. Melalui lagu ini, Stevan Pasaribu turut ingin menyampaikan mesej bahawa seseorang itu tidak benar-benar keseorangan dalam kesepian mereka. Menurutnya, tidak mengapa jika hari ini masih belum menemukan pasangan hidup kerana setiap orang mempunyai waktunya sendiri, dan mungkin kehidupan sedang memberi ruang agar semuanya hadir pada saat yang paling tepat. Single “Lama Tak Bermalam Minggu” rasmi dilancarkan di semua platform penstriman digital bermula 6 Mei 2026 dan dijangka menjadi antara lagu balada emosi yang dekat di hati pendengar yang pernah melalui fasa kesunyian dalam kehidupan. Post navigation Siti Badriah Kembali dengan Single Terbaharu “Bikin Candu” Berirama HipDut KIIYAS Tampil Dengan “Niskala (Diperdaya Psikedelik Cinta)” – Kisah Rock Tentang Luka, Setia dan Ketabahan Jiwa