KUALA LUMPUR, 5 MEI 2026 – Satu sidang media khas telah diadakan di Odeon Kuala Lumpur bagi mengumumkan penganjuran konsert Majlis Tertinggi Rockqueen Ella: Homecoming Edisi 60 Permata Biru yang bakal berlangsung pada 25 Julai 2026 di Stadium Negeri Pulau Pinang, Batu Kawan. Pengumuman ini menandakan kesinambungan kepada kejayaan edisi terdahulu di Stadium Nasional Bukit Jalil yang berjaya menghimpunkan lebih 55,000 penonton, sekali gus mengukuhkan lagi pengaruh dan legasi Ella dalam industri muzik tanah air. Edisi kali ini membawa makna yang lebih peribadi apabila ia bukan sekadar konsert berskala besar, tetapi juga simbol “homecoming” atau kepulangan Ella ke negeri kelahirannya, Pulau Pinang. Bersempena ulang tahun kelahiran beliau yang ke-60, konsert ini dijangka menjadi momen penuh emosi yang menghubungkan perjalanan hampir empat dekad karier seni dengan akar asalnya di utara tanah air. Ia turut mencatat sejarah tersendiri apabila Ella bakal menjadi artis pertama yang menganjurkan konsert solo di stadium berkenaan, yang turut dikenali sebagai Stadium Batu Kawan. Lebih daripada sekadar hiburan, konsert ini turut membawa mesej kemasyarakatan melalui kempen Peace. Love. Rindu. yang menggalakkan peminat untuk turut sama menyumbang kepada usaha kebajikan. Setiap pemegang tiket akan berpeluang mengundi badan kebajikan pilihan mereka iaitu Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Pulau Pinang bagi kategori Peace, Yayasan Kebajikan Negara (YKN) bagi Love, dan Yayasan Kebajikan Artis Tanahair bagi Rindu, dengan RM2 daripada setiap tiket akan disalurkan kepada tujuan kebajikan. Dari segi akses peminat, harga tiket ditawarkan serendah RM39 bagi memastikan konsert ini dapat dinikmati oleh pelbagai lapisan masyarakat. Pemegang tiket Aras 3 daripada konsert sebelumnya turut diberi keutamaan akses awal bermula 8 Mei 2026, manakala jualan umum akan dibuka pada 11 Mei 2026 melalui www.hitmanlive.com. Inisiatif ini mencerminkan usaha penganjur untuk menjadikan pengalaman konsert lebih inklusif dan dekat dengan peminat. Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Hitman Group, Rohit Rampal, penganjuran ini bukan sekadar sebuah konsert tetapi sebuah pengalaman kolektif yang menggabungkan muzik, emosi dan mesej kemasyarakatan. Sementara itu, Ella sendiri menyifatkan konsert ini sebagai satu refleksi perjalanan seninya serta platform untuk terus berkongsi nilai Peace. Love. Rindu. kepada peminat yang telah menyokong beliau sepanjang karier. Konsert ini turut disokong oleh rakan media utama seperti Era FM, Sinar FM, Mix FM, Lite FM serta Astro Gempak sebagai rakan media digital, menjadikan ia antara acara muzik paling dinanti-nantikan pada tahun 2026 yang bukan sahaja meraikan legasi, tetapi juga menyatukan peminat dari seluruh negara. Post navigation Konsert “Rasi Jiwa” Bukti Ghea Indrawari Tidak Perlukan Gimik Untuk Menyentuh Hati ALPHA Ukir Sejarah, Tercalon Di Music Awards Japan 2026, Bawa Nama Malaysia Ke Pentas Antarabangsa