Kabar baik buat warga Perak! Pantai Hospital Ipoh (PHI) kini melangkah setapak lagi dalam menjaga kebajikan komuniti kita menerusi kerjasama strategik bersama SilverGenz. Kolaborasi ini memperkenalkan perkhidmatan careline warga emas 24 jam sehari yang pertama di Perak, khas untuk memastikan datuk, nenek, dan ibu bapa kita sentiasa dalam pantauan pakar walaupun selepas mereka pulang dari hospital. Majlis pelancaran yang penuh bermakna ini telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Dato’ Sivanesan a/l Achalingam, EXCO Kesihatan Negeri Perak, baru-baru ini.
Kita semua sedia maklum bahawa penjagaan warga emas di rumah selepas discaj hospital bukanlah satu tugas yang mudah bagi ahli keluarga. Oleh itu, inisiatif PHI x SilverGenz ini hadir untuk memberi ketenangan minda kepada anak-anak dan penjaga. Melalui perkhidmatan ini, jurang antara rawatan di wad dan penjagaan di rumah dapat dirapatkan. Ketua Pegawai Eksekutif PHI, Ms Yow Huai Mim, menjelaskan bahawa komitmen hospital bukan sekadar merawat di katil pesakit, tetapi memastikan kesinambungan penjagaan yang berkualiti diteruskan sehingga ke pintu rumah mereka.

Gambar berkumpulan bersama para hadirin bagi meraikan mercu tanda kerjasama dalam memacu inisiatif penjagaan warga emas bersepadu serta memperkukuh rakan strategik pelbagai sektor demi menyokong masyarakat menua di Malaysia.
Apa yang menarik, perkhidmatan ini menawarkan bantuan profesional secara masa nyata. Ini termasuklah pemantauan rawatan luka, memastikan ubat dimakan mengikut jadual, serta pengurusan penyakit kronik yang lebih rapi. Bagi ahli keluarga yang bekerja atau tinggal berjauhan, sokongan 24/7 ini bertindak sebagai “talian hayat” yang sentiasa bersedia membantu jika berlaku sebarang kesulitan, sekali gus mengurangkan kegusaran tentang keselamatan warga emas di kediaman sendiri.

YB Dato’ Sivanesan Achalingam (tengah), Cheong Siew Fong (kiri), dan Dr Carol Yip (kanan) menyempurnakan pelancaran careline warga emas 24/7 pertama di Perak menerusi majlis menandatangani MOU antara Pantai Hospital Ipoh dan SilverGenz.
Yang Berhormat Dato’ Sivanesan dalam ucapannya turut memuji usaha ini yang sangat dekat di hati masyarakat, terutama dalam mendepani cabaran negeri menua. Beliau menekankan bahawa pembangunan sesebuah negeri akan lebih bermakna apabila kebajikan golongan warga emas dipelihara dengan teknologi dan kasih sayang. Inisiatif ini bukan sahaja memudahkan urusan harian keluarga di Perak, malah diharap dapat menjadi contoh terbaik untuk diikuti oleh negeri-negeri lain. Untuk maklumat lanjut bagi membantu insan tersayang anda, jemput layari www.silvergenz.com.
