Persatuan Karyawan Malaysia terus komited dalam memperjuangkan kebajikan penggiat seni tempatan melalui penganjuran Golf Amal Selebriti Kali Ke-5 yang akan berlangsung pada Ahad, 10 Mei 2026, bermula jam 12.00 tengah hari di Kota Seriemas Golf & Country Club. Acara ini akan diteruskan dengan Makan Malam Gala serta Majlis Penyampaian Hadiah.

Penganjuran edisi kelima ini yang mendapat sokongan FINAS membawa misi utama mengumpul dana kebajikan bagi membantu artis-artis serta penggiat filem di bawah PROFIMA, di samping memperkukuh kerjasama antara industri seni, sektor korporat dan masyarakat melalui platform berimpak tinggi yang berteraskan tanggungjawab sosial.
Menurut Presiden Persatuan Karyawan Malaysia, pihak penganjur merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Pengerusi FINAS, Hans Isaac, serta Azmir Saifuddin Mutalib atas sokongan dan komitmen mereka, termasuk penyertaan secara langsung dalam acara berkenaan.


Program ini merupakan kesinambungan kepada kejayaan penganjuran terdahulu di Templer Park Country Club, Staffield Country Resort, Kelab Golf Perkhidmatan Awam Malaysia serta Kota Seriemas Golf & Country Club. Ia sekali gus membuktikan kesinambungan Golf Amal Selebriti sebagai inisiatif kebajikan yang terus mendapat sokongan pelbagai pihak.
Sehubungan itu, pihak penganjur menyeru syarikat korporat, GLC, institusi kewangan serta rakan strategik untuk tampil menyokong melalui kategori penajaan yang ditawarkan iaitu Gold Sponsor sebanyak RM10,000 (8 pemain / 2 flight percuma), Silver Sponsor sebanyak RM5,000 (4 pemain / 1 flight percuma) dan Hole Sponsor sebanyak RM1,000 (2 pemain percuma).
Kesemua penaja akan menerima liputan promosi menyeluruh menerusi kempen media, bahan publisiti rasmi, pengiktirafan semasa sidang media termasuk sesi penyerahan mock cheque, serta penjenamaan sepanjang hari kejohanan berlangsung. Selain penajaan korporat, penyertaan individu turut dibuka kepada pemain golf dan penyokong yang ingin bersama-sama menyumbang kepada usaha kebajikan ini.
Golf Amal Selebriti bukan sekadar sebuah kejohanan golf, sebaliknya merupakan platform kebajikan yang menyatukan industri seni, korporat dan masyarakat dalam usaha membantu artis serta pekerja filem yang memerlukan. Sokongan yang diberikan bukan sekadar penajaan acara, tetapi juga merupakan sumbangan bermakna kepada kebajikan penggiat seni yang telah banyak berjasa kepada landskap seni dan budaya negara.
Sumbangan penajaan boleh disalurkan ke akaun Persatuan Karyawan Malaysia, Public Bank 3108024130. Untuk maklumat lanjut dan penyertaan, sila hubungi Dato’ Freddie Fernandez di talian 012-2071400, emel fredez2009@gmail.com atau layari karyawan.my.
“Ayuh semua kaki golf, bersama beraksi sambil berbakti.”