Filem Malaikat Malam terus mencipta fenomena apabila berjaya meraih kutipan sebanyak RM14 juta di pawagam seluruh negara sejak mula ditayangkan. Pencapaian ini sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara naskhah paling berjaya bagi tahun 2026, selain memberi impak positif kepada industri perfileman tempatan yang kini terus berkembang dengan sokongan penonton yang semakin meningkat. Penerbit Syafiq Yusof dari Viper Studios menyifatkan kejayaan tersebut sebagai satu penghargaan besar kepada seluruh tenaga produksi yang terlibat di belakang tabir. Menurut beliau, angka kutipan RM14 juta bukan sekadar pencapaian komersial, tetapi bukti kepercayaan dan sokongan padu penonton terhadap karya tempatan yang berkualiti. Filem arahan Nazifdin Nasrudin ini diterbitkan oleh Viper Studios dengan kerjasama Skop Productions, Astro Shaw dan Primeworks Studios. Malaikat Malam mengangkat kisah penuh emosi yang menggabungkan elemen cinta, persahabatan dan pengorbanan dalam latar dunia jalanan, berpusat kepada watak Azam, seorang ‘mat motor’ yang secara tidak sengaja melanggar seorang gadis buta bernama Ratna, sekali gus mengubah perjalanan hidupnya. Filem ini turut dibintangi oleh barisan pelakon popular termasuk Syafiq Kyle, Tracie Sinidol, Amir Nafis, Kodi Rasheed, Juzzthin dan Que Haidar bersama beberapa nama lain yang memperkukuhkan lagi kekuatan penceritaan filem ini. Seiring dengan kejayaan kutipan tersebut, Malaikat Malam masih ditayangkan di pawagam seluruh negara dan terus mendapat sambutan hangat daripada penonton. Filem ini kini dilihat sebagai salah satu karya yang bukan sahaja berjaya dari sudut komersial, tetapi turut memberi sumbangan besar dalam mengangkat kualiti industri perfileman tempatan. Post navigation “TARUNG: UNFORGIVEN” LANCAR TRELER RASMI, TAMPIL AKSI PWNUH INTENSITI DAN EMOSI DI PAWAGAM 7 MEI INI ‘Malam – Malam’: Karya Terbaharu Nuha Bahrin Penuh Nuansa Emosi