Bersempena sambutan Aidilfitri tahun ini, P. Radhi tampil dengan single terbaharu berjudul “Raya Bersama”, sebuah karya yang mengangkat tema nostalgia dan kenangan lama yang sering dirindui setiap kali Syawal menjelma. Lagu ini membawa pendengar mengimbau kembali suasana Raya klasik, daripada kemeriahan pagi Syawal, hidangan tradisional, hinggalah momen penuh makna bersama keluarga tercinta. Dalam masa yang sama, ia turut menyampaikan mesej tentang kepentingan saling bermaafan serta membuka lembaran baharu dengan jiwa yang lebih bersih.
Lagu dan lirik “Raya Bersama” merupakan hasil ciptaan Firdaus Rashid, komposer baharu di bawah naungan Luncai Emas. Single ini menjadi karya terbaharu P. Radhi selepas pelancaran lagu solonya “Gadis Chantek” pada tahun 2024, selain projek rakaman semula lagu klasik seperti “Tiara” dan “Suatu Masa” pada tahun 2022. Melalui karya ini, beliau terus mengekalkan identiti muzik yang berteraskan elemen klasik, namun disuntik dengan sentuhan segar agar kekal relevan dengan generasi masa kini.
Lirik lagu ini disampaikan dengan penuh keikhlasan dan emosi, menekankan nilai kekeluargaan serta keindahan silaturahim yang menjadi teras sambutan Aidilfitri. Menurut P. Radhi, beliau berharap lagu ini bukan sekadar hiburan semata-mata, tetapi mampu mengeratkan ukhuwah dan menceriakan suasana lebaran dalam kalangan masyarakat.
Dikenali dengan gaya nyanyian yang sering dikaitkan dengan legenda seni P. Ramlee, P. Radhi atau nama penuhnya Muhammad Radhi Ab Rahman terus membuktikan keupayaannya dalam mengangkat semula nuansa klasik dalam karya moden. Sebagai Juara Bintang P. Ramlee Kebangsaan 2016, beliau berjaya membina identiti tersendiri yang menggabungkan elemen tradisional dan kontemporari dalam persembahannya.
Dengan sokongan Luncai Emas sebagai pengedar digital dan pentadbir hak cipta, “Raya Bersama” kini boleh dinikmati di semua platform penstriman digital utama serta saluran YouTube rasmi. Lagu ini diharap dapat menjadi antara karya raya yang kekal malar segar, terus dimainkan saban tahun dan menghidupkan kembali memori indah Aidilfitri dalam jiwa setiap pendengar.