Sebagai pembangunan mercu tanda yang diiktiraf di peringkat global, Menara Merdeka 118 terus menetapkan standard baharu bagi inovasi keselamatan di Malaysia. Menara ini telah berjaya memperoleh Sijil Perakuan Bomba (FC) daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), yang membuktikan kepatuhan mutlak terhadap kriteria keselamatan kebakaran yang ditetapkan di bawah undang-undang negara. Pensijilan ini mencerminkan ketelitian sistem keselamatan nyawa yang dilaksanakan di seluruh bangunan bagi memastikan infrastruktur dan kesiapsiagaan operasi sentiasa berada pada tahap tertinggi, selaras dengan skala dan kompleksiti menara ini.
Sejajar dengan usaha penambahbaikan yang berterusan, Menara Merdeka 118 turut mengaktifkan Sistem Pengawasan Kebakaran Automatik (SPKA) yang terkini. Inisiatif ini memperkukuh lagi keupayaan bertindak balas terhadap kecemasan melalui pemantauan masa nyata serta koordinasi yang lebih mantap bersama JBPM. Hal ini amat penting bagi persekitaran bangunan pencakar langit yang memerlukan tahap kesiapsiagaan luar biasa bagi menjamin tindakan yang pantas dan tepat.

Dalam majlis penyerahan sijil tersebut, Yang Setia Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Hj. Hassan ‘As’ari bin Hj. Omar, Pengarah JBPM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur berkata, “Jabatan Bomba Metropolitan bersama Malaysia Supertall Secretariat (MSS) telah memainkan peranan penting bagi memastikan piawaian keselamatan sentiasa dipatuhi agar projek super tinggi ini mencapai standard dunia. Bagi pembangunan sebesar ini, komitmen terhadap penyelenggaraan sistem dan prosedur keselamatan adalah kunci utama. Pelaksanaan sistem seperti SPKA terbukti meningkatkan tahap koordinasi semasa situasi kecemasan.”

Dato’ Ir. Ts. Izwan Hasli Mohd Ibrahim, Ketua Pegawai Eksekutif PNB Merdeka Ventures Sdn Bhd menyatakan, “Sijil Perakuan Bomba ini adalah satu kejayaan besar bagi Menara Merdeka 118 kerana ia mengesahkan setiap inci bangunan ini mematuhi piawaian keselamatan nyawa yang ditetapkan. Sebagai ikon negara, tanggungjawab kami adalah untuk memastikan keselamatan menjadi nadi dalam setiap aspek reka bentuk dan operasi. Kehadiran SPKA memberi jaminan tambahan melalui pemantauan yang lebih cekap, sekali gus memberi keyakinan kepada penyewa dan pengunjung bahawa mereka berada dalam persekitaran yang dilindungi oleh piawaian global yang terbaik.”
Menara Merdeka 118 juga merupakan antara projek utama di bawah sokongan Malaysia Supertall Secretariat (MSS), sebuah organisasi keselamatan perintis di Asia khusus untuk bangunan melebihi 300 meter. MSS berperanan memperkasakan pengurusan kecemasan menerusi kerjasama strategik antara pemilik bangunan dan pihak berkuasa. Pengiktirafan ini melengkapkan siri pencapaian menara ini yang baru-baru ini melakar sejarah sebagai bangunan pertama di Malaysia menerima pengiktirafan MD Nexus bagi infrastruktur digital dan ketersambungan yang canggih.
Selain aspek keselamatan yang kukuh, Menara Merdeka 118 turut memegang pensijilan LEED Platinum, pengiktirafan triple platinum daripada GreenRE dan Green Building Index, serta Pensijilan WELL Core Platinum. Dengan menggabungkan piawaian pejabat Gred A dan rekod kelestarian yang cemerlang, Merdeka 118 terus memantapkan kedudukannya sebagai destinasi perniagaan dan gaya hidup utama di Kuala Lumpur yang mementingkan kecemerlangan operasi dan keselamatan menyeluruh.