
Filem cereka muzikal berunsur Islamik arahan Imran Haji Ismail, hasil terbitan Phenomena Asia At Work Sdn Bhd bersama My Jannah International Production Sdn Bhd, kini telah siap sepenuhnya dan bakal ditayangkan kepada umum menerusi skim WAJIB Tayang FINAS dalam masa terdekat. Filem ini turut mendapat kelulusan daripada Lembaga Penapisan Filem Malaysia, sekali gus mencipta sejarah sebagai karya pertama seumpamanya di peringkat dunia.
Menampilkan konsep unik, filem ini mengangkat enam surah pilihan daripada Al-Quran iaitu Surah Al-Fatihah, Al-Kahfi, Yassin, Al-Waqiah, Ar-Rahman dan Al-Mulk, yang diperdengarkan melalui lantunan murottal oleh Imam Yusuf Rebu Al Muqri. Pendekatan ini menjadikan Masterpiece – Hidden Wonders Of The World sebagai filem pertama dengan konsep sedemikian di Malaysia. Gabungan bacaan murottal dan keindahan panorama Langkawi menjadikan filem ini sebuah karya istimewa yang dihasilkan khusus untuk ummah, dengan harapan dapat memberi inspirasi dan keberkatan kepada para penonton.

Majlis pra-pemasaran filem ini turut diserikan dengan beberapa pengisian utama, antaranya ucapan daripada pihak penerbit serta wakil pihak hotel, diikuti ucapan perasmian oleh Ketua Pegawai Eksekutif FINAS. Selain itu, majlis ini juga menyaksikan sesi menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara pihak produksi bersama beberapa rakan strategik termasuk Yayasan MADAD, Omar Ali, Spectra Sdn. Bhd. dan RFC Holding Sdn Bhd.
Acara turut dimeriahkan dengan persembahan lantunan murottal secara langsung oleh Imam Muhammad Yusof Rebu Al-Muqri’, yang dipadankan dengan visual babak daripada filem, serta tayangan OST filem bertajuk Qasidah Madani. Semoga usaha ini mendapat keberkatan dan rahmat daripada Allah SWT serta memberi impak positif kepada industri perfileman tempatan dan ummah keseluruhannya.