Drama bersiri Andai Itu Takdirnya 2 terus mencuri perhatian penonton apabila konflik yang dipaparkan semakin memuncak dalam setiap episod. Adaptasi daripada karya novelis Siti Rosmizah ini kini bersiaran di Astro Ria (saluran 104) setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam, dan menjadi antara drama paling hangat diperkatakan ketika ini.
Memasuki episod ke-10, penonton semakin geram dengan sikap ‘red flag’ Aizril yang dilakonkan oleh Shukri Yahya apabila wataknya terus terjerumus dalam konflik rumah tangga melibatkan orang ketiga. Keputusan Aizril untuk berpoligami demi menyelamatkan perniagaan yang hampir muflis telah melukakan hati Aleya, lakonan Hannah Delisha, yang kini turut berdepan kecacatan pada tangan.
Lebih memburukkan keadaan, watak Azreen yang dimainkan oleh Nadia Brian dilihat semakin licik memanipulasi situasi demi mencapai hasrat untuk berkahwin dengan Aizril. Antara babak yang mencetuskan kemarahan penonton adalah ketika Aizril bertindak menyimbah sup panas ke wajah Aleya selepas mempercayai fitnah Azreen.
Namun begitu, perkembangan karakter Aleya menjadi antara kekuatan utama musim kedua ini apabila dia tampil lebih tegas dan berani. Aleya bukan sahaja berani mempertahankan maruah diri, malah sanggup meminta cerai walaupun Aizril enggan melepaskannya. Perubahan ini menjadikan wataknya lebih kuat dan memberi kepuasan kepada penonton yang mengikuti perjalanan kisahnya sejak musim pertama.
Dengan jumlah keseluruhan 40 episod, drama ini dijangka terus sarat dengan konflik emosi dan persoalan besar tentang kesudahan hubungan tiga watak utama ini. Turut dibintangi Fahrin Ahmad, Puteri Sarah Liyana dan Idzham Ismail, drama ini boleh ditonton di Astro Ria serta platform Sooka.
INFORMASI
Drama: Andai Itu Takdirnya 2
Pelakon: Shukri Yahya, Hannah Delisha, Nadia Brian
Pengarah: Feroz Khan
Penerbit: SR ONE Sdn. Bhd
Episod: 40 Episod
Sinopsis:
Kesinambungan daripada Andai Itu Takdirnya 2 mengisahkan Aizril, seorang suami yang terperangkap antara kesetiaan terhadap keluarganya dan cinta kepada isterinya. Ketika cintasemakin pudar dan tragedi melanda, Aleya terpaksa membuat pilihan adakah kesetiaan masih berbaloi dengan harga kebebasan dirinya? Dan adakah Aizril akan sekali lagi mensia-siakan peluang yang diberikan oleh isterinya?