Konsert “For You Nourul” yang dinanti-nantikan akhirnya dijadualkan semula ke 30 Mei 2026, sebagai langkah terbaik bagi memastikan kualiti persembahan berada pada tahap maksimum. Penyanyi terkenal Nourul Depp membuat keputusan ini demi memberikan pengalaman terbaik kepada peminat selepas lebih tiga dekad berkecimpung dalam industri muzik. Konsert yang sebelum ini dijadual berlangsung pada 17 April 2026 itu kini akan menjadi sebuah momen lebih bermakna apabila dipersembahkan dalam suasana yang lebih bersedia dan tersusun rapi.
Menurut Nourul, konsert solo ini bukan sekadar sebuah persembahan biasa, tetapi simbol kepada fasa baharu dalam perjalanan seninya. Beliau optimis bahawa perubahan tarikh ini akan memberi ruang yang lebih baik kepada peminat untuk hadir dan bersama-sama meraikan detik istimewa tersebut. Penganjur, ND Entertainment, turut menyifatkan tarikh baharu ini sebagai pilihan paling tepat, mengambil kira faktor musim perayaan Aidilfitri dan Aidiladha serta komitmen kewangan peminat.
Lebih istimewa, konsert ini bakal menjadi ‘preview’ kepada arah baharu yang ingin dibawa oleh Nourul, dengan pendekatan, tenaga dan visi yang lebih segar. Dengan sokongan pasukan serta peminat setia, “For You Nourul” dijangka menjadi satu malam penuh emosi dan kenangan, sekali gus mengukuhkan legasi beliau dalam industri muzik tanah air.

Peminat masih berpeluang mendapatkan tiket konsert mengikut kategori harga yang ditawarkan, iaitu RM198 (Sehati Sejiwa), RM298 (Cinta Azali), RM328 (Keliru), RM388 (Kerana Terluka) dan RM6,000 (VIP Box).
Kesemua tiket boleh dibeli menerusi laman sesawang rasmi Ticket2U.
Jangan lupa tandakan tarikh penting ini! Konsert “For You Nourul” oleh Nourul Depp bakal berlangsung pada 30 Mei 2026, jam 8.00 malam di Zepp Kuala Lumpur.