Drama Khianat Yang Terpilih terus hangat diperkatakan apabila jalan ceritanya semakin berani menyentuh isu sensitif termasuk soal hukum agama. Antara plot yang mencetuskan perhatian ialah konflik melibatkan watak Asmida lakonan Puteri Aishah yang hamil hasil hubungan terlarang dengan Ali, watak yang dibawakan oleh Ben Amir, ketika kedua-duanya masih terikat dengan pasangan masing-masing.
Perkembangan ini mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan penonton, khususnya berkaitan isu nasab anak yang bakal dilahirkan. Ramai mula mempersoalkan siapakah ‘bin’ anak tersebut, sama ada perlu berlaku perceraian, serta apakah hukum sebenar dalam situasi yang rumit ini.

Menjawab persoalan tersebut, seorang ustaz dikenali sebagai Jafri Abu Bakar tampil memberikan penjelasan. Menurutnya, dalam Islam, penentuan nasab anak bergantung kepada status perkahwinan wanita ketika hamil. Beliau menjelaskan bahawa sekiranya seorang wanita masih mempunyai suami, anak yang dilahirkan secara asasnya dinasabkan kepada suami berdasarkan kaedah “anak itu dinasabkan kepada pemilik hamparan”, di mana ‘hamparan’ merujuk kepada wanita yang berada dalam perkahwinan yang sah.
Namun begitu, terdapat keadaan tertentu yang membolehkan nasab tersebut dinafikan. Jika suami yakin anak tersebut bukan daripada benihnya sendiri dan mempunyai bukti kukuh, dia boleh melakukan penafian melalui proses li’an, iaitu sumpah laknat di hadapan hakim atau qadhi. Melalui proses ini, nasab anak tidak lagi disandarkan kepada suami, sebaliknya kepada si ibu.

Beliau turut menegaskan bahawa penentuan atau penafian nasab tidak boleh dibuat secara sewenang-wenangnya, apatah lagi hanya bersandarkan ujian DNA semata-mata. Dalam hukum syarak, penetapan nasab perlu melalui akad perkahwinan yang sah, manakala penafian pula hanya boleh dilakukan melalui li’an, yang turut menyebabkan pasangan tersebut berpisah selama-lamanya.
Bagi yang ingin mendapatkan penjelasan lebih lanjut mengenai isu ini, penonton boleh menonton perkongsian penuh melalui pautan yang disediakan: https://www.instagram.com/reel/DWn8zgEkm-T/?utm_source=ig_web_copy_link&igsh=NTc4MTIwNjQ2YQ==
Kini menghampiri episod kemuncak, Khianat Yang Terpilih bakal menemui penonton dengan penamat yang dinanti-nantikan pada Rabu depan. Jangan ketinggalan untuk menyaksikannya setiap Isnin hingga Jumaat, jam 6.58 petang di slot Akasia di TV3.
Selain itu, penonton juga boleh mengikuti episod baharu secara eksklusif di iQIYI, satu jam selepas siaran televisyen, sama ada melalui laman web atau aplikasi di Google Play dan App Store.