Sambutan Aidilfitri tahun ini pastinya lebih meriah dengan kehadiran dua lagu raya baharu daripada penyanyi dan pelawak terkenal, Achey. Menerusi lagu “Nak Balik Raya” dan “Ibu Raya”, Achey menampilkan dua kisah berbeza yang dekat dengan kehidupan masyarakat setiap kali menjelang Syawal.
Lagu “Nak Balik Raya” membawa suasana ceria dan santai yang menggambarkan keterujaan orang ramai yang membuat persiapan untuk pulang ke kampung halaman. Lagu ini turut menampilkan Achey bersama ahli keluarganya sendiri termasuk isteri dan anaknya, Tiara, sekali gus memberikan sentuhan lebih peribadi kepada karya tersebut.

Menurut Achey, elemen kekeluargaan sengaja diketengahkan kerana budaya pulang ke kampung ketika Hari Raya merupakan tradisi yang sangat penting dalam masyarakat Malaysia. Bagi beliau, momen berkumpul bersama keluarga di kampung halaman adalah antara kenangan paling berharga yang perlu terus dipelihara oleh generasi masa kini.
Dalam pada itu, lagu kedua berjudul “Ibu Raya” pula membawa pendekatan lebih menyentuh hati apabila memberi penghormatan kepada peranan ibu dalam memastikan kemeriahan Aidilfitri. Lagu ini dinyanyikan bersama penyanyi cilik Tantari serta dua bakat muda Dahlya dan Rayyan yang menambahkan lagi warna dalam karya tersebut.

Melalui kedua-dua lagu ini, Achey berharap pendengar dapat merasai kehangatan suasana Aidilfitri serta menghargai nilai kekeluargaan yang menjadi teras kepada sambutan perayaan itu sendiri. Beliau juga berharap lagu-lagu tersebut dapat dimainkan di radio, pusat beli-belah, bazar Ramadan dan dalam perjalanan pulang ke kampung.
Dengan gabungan elemen ceria, nostalgia dan kasih sayang keluarga, “Nak Balik Raya” dan “Ibu Raya” dijangka menjadi antara lagu yang menceriakan lagi sambutan Aidilfitri tahun ini. Kedua-dua lagu terbitan Seventeen Eleven Music kini tersedia di semua platform penstriman muzik dan muzik video rasminya boleh ditonton di saluran YouTube Seventeen Eleven Music.