Odeon KL, salah satu panggung wayang tertua dan paling bersejarah di Malaysia sejak 1936, kini menjalani proses transformasi besar untuk kembali bernafas sebagai pusat seni persembahan berskala profesional di tengah-tengah ibu kota. Terletak di atas tanah milik UDA Holdings Berhad, bangunan ikonik ini sedang dinaik taraf sepenuhnya dan bakal diuruskan oleh Rockstation Event & Entertainment Sdn Bhd di bawah pimpinan Pengarah Urusan, Mozylir Mokhtaruddin. Langkah pembaharuan ini menandakan permulaan era baharu bagi sebuah lokasi yang pernah menjadi nadi hiburan warga Kuala Lumpur.
Dengan kedudukannya yang strategik di Jalan Tuanku Abdul Rahman, hanya 300 meter dari Stesen LRT Bandaraya dan 500 meter dari Stesen Monorel Medan Tuanku, Odeon KL menawarkan akses terbaik kepada pengunjung tempatan, pelancong serta peminat seni. Kawasan sekitarnya turut diperkayakan dengan kehadiran pusat beli-belah seperti Kompleks Pertama, Kompleks Sogo dan Kompleks Campbell, menjadikan Odeon KL sebuah destinasi yang hidup dan sesuai untuk pelbagai aktiviti hiburan serta budaya.

Rockstation Event & Entertainment Sdn Bhd membawa hala tuju baharu untuk menjadikan Odeon KL sebagai sebuah hab seni dan acara yang merangkumi dewan konsert, ruang aktiviti, pementasan seni serta platform kebudayaan. Melalui pelan pembangunan komprehensif selama 10 tahun, Rockstation memperuntukkan RM6 juta bagi kerja-kerja pemuliharaan, penaiktarafan dan melengkapkan bangunan ini dengan kemudahan moden tanpa menjejaskan nilai warisan yang menjadi identitinya sejak hampir satu abad.
Pembangunan semula Odeon KL meliputi sistem bunyi, akustik dan teknikal bertaraf profesional bagi memastikan persembahan berlangsung pada kualiti terbaik. Ruang bilik persalinan artis ditambah baik, begitu juga dengan ruang logistik untuk produksi acara. Kemudahan parkir, Laman Odeon sebagai ruang aktiviti komuniti, serta penyediaan surau turut menjadi sebahagian daripada usaha memastikan keselesaan dan kemudahan optimum kepada pengunjung. Projek penaiktarafan ini sedang dijalankan secara berperingkat dan dijangka siap sepenuhnya pada Mei 2026.

Selain memartabatkan seni persembahan tempatan, kebangkitan Odeon KL turut membuka peluang baharu kepada usahawan Bumiputera serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi setempat. Dalam menyokong kempen Tahun Melawat Malaysia 2026, Rockstation turut merancang untuk menganjurkan pelbagai acara seni, budaya, muzik dan festival bagi menjadikan Odeon KL sebagai salah satu tarikan utama pelancong di Kuala Lumpur. Gabungan sejarah, nilai warisan dan pembangunan moden menjadikan Odeon KL bersedia untuk muncul semula sebagai pusat seni berprestij bagi generasi masa kini dan akan datang.
Pembukaan semula Odeon KL diserikan dengan persembahan eksklusif kumpulan rock tanah air, Barbarik, yang dianggotai Jo Branko, Muss, Rozaimi dan Ainol. Mereka dipilih sebagai artis pertama menguji pentas baharu Odeon KL melalui konsert Pentas Barbarik: Live @ Odeon KL yang dijadual berlangsung pada 12 Disember 2025. Kerjasama ini terjalin berikutan kejayaan konsert Peluru Cokelat serta sambutan luar biasa daripada komuniti peminat Rejim Barbarik.

Menurut Pengarah Urusan Rockstation Event & Entertainment Sdn Bhd, Mozylir Mokhtaruddin, pihaknya berbesar hati untuk menampilkan Barbarik sebagai pembuka tirai era baharu Odeon KL selepas menyaksikan persembahan mantap mereka di Zepp KL. Kejayaan jualan tiket yang habis terjual dalam masa singkat membuktikan sokongan kuat peminat terhadap band tersebut, dan pihak penganjur optimis untuk meneruskan kerjasama ini pada masa hadapan.
Sambutan terhadap konsert pembukaan ini amat memberangsangkan apabila semua tiket habis dijual, dengan kehadiran dijangka mencecah 2,500 peminat. Pentas Barbarik di Odeon KL bukan sahaja menandakan permulaan baharu bagi bangunan bersejarah ini, tetapi juga menjadi simbol kebangkitan semula sebuah ruang seni yang bakal menyemarakkan denyut kreativiti Kuala Lumpur.