Usaha memperluas pasaran francais Malaysia terus digiatkan apabila Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dengan sokongan PERNAS dan MFA membawa jenama tempatan ke Osaka, Jepun bersempena Franchise Expo Osaka 2025 (FRAX 2025). Pameran yang berlangsung dari 27 hingga 29 Ogos 2025 ini menyaksikan penyertaan lapan syarikat francais Malaysia yang giat mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka.
Delegasi Malaysia diketuai oleh YBhg. Datuk Saidatu Akhma binti Hassan, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Keusahawanan) KUSKOP. Misi ini menjadi susulan kepada kejayaan misi perdagangan francais ke China baru-baru ini, sekaligus menegaskan komitmen Malaysia untuk terus menembusi pasaran antarabangsa.

Penyertaan francais Malaysia di Jepun dilihat amat bertepatan kerana negara tersebut menitikberatkan kualiti dan piawaian antarabangsa termasuk aspek halal. Hal ini membuka peluang luas kepada usahawan tempatan untuk menembusi pasaran yang besar di rantau Asia Timur.
Selain pameran, misi ini turut disertai dengan sesi perbincangan meja bulat bersama Japan Franchise Association (JFA) dan kerjasama dengan Kumon, antara francais pendidikan paling berpengaruh di Jepun. Kejayaan ini membuktikan bahawa francais Malaysia bukan sahaja diterima di pasaran tempatan, tetapi juga berdaya saing di pentas global.
KUSKOP optimis bahawa misi ini akan memberi impak jangka panjang kepada perkembangan francais negara serta mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pusat francais serantau selari dengan aspirasi Dasar Francais Negara 2030.