Dalam memperingati ulang tahun ke-41 penubuhannya, TV3 meneruskan legasi kewartawanan berani dengan membawakan sebuah episod khas program penyiasatan tersohor, 999, bertajuk ‘Pemburu Pedo’. Episod penuh mendebarkan ini bakal disiarkan pada 25 Jun 2025, jam 9.00 malam, dan menjanjikan pendedahan mendalam mengenai sisi gelap pedofilia digital yang semakin meruncing di Malaysia. Menerusi penyiasatan eksklusif, penonton akan diperlihatkan bagaimana jenayah seksual terhadap kanak-kanak kini tidak lagi hanya berlaku secara fizikal, tetapi juga semakin agresif di platform digital.
Episod khas ini membuka tirai dengan mengimbau semula kes-kes berprofil tinggi yang pernah menggemparkan negara dan dunia. Antaranya termasuk kes Amirul Arif Mohd Yunos, seorang warga Malaysia yang ditahan di United Kingdom pada tahun 2024 kerana memiliki dan menyebarkan bahan eksploitasi seksual kanak-kanak, serta kes Richard Huckle, seorang pedofil warga Britain yang disabitkan kesalahan merogol lebih 200 kanak-kanak, termasuk mangsa dari Kuala Lumpur. Lebih mengejutkan, pada tahun 2025, satu lagi pendedahan mengejutkan berlaku apabila sebuah kumpulan Facebook bernama ‘Grup Budak Sekolah’ yang menyebarkan imej tidak senonoh pelajar sekolah rendah berjaya dibongkar, hasil keberanian seorang pengguna media sosial dikenali sebagai Mek Yun.
Mengambil serius kebimbangan awam terhadap peningkatan jenayah seksual digital ini, Unit D11 Bukit Aman telah melancarkan Operasi Cyber Guardian dari 24 Februari hingga 28 Mac 2025 yang tertumpu di kawasan Selangor dan Pulau Pinang. Operasi tersebut berjaya membawa kepada penahanan empat suspek, termasuk seorang penjawat awam, serta rampasan lebih daripada 50,000 fail bahan penganiayaan seksual kanak-kanak (CSAM). Ia merupakan antara rampasan terbesar dalam sejarah penyiasatan jenayah siber berkaitan eksploitasi seksual kanak-kanak di negara ini.
Komitmen tegas pihak berkuasa dalam memerangi jenayah ini jelas terbukti melalui tindakan pantas serta dedikasi pasukan penyiasat dari Unit D11 yang terus gigih memburu pelaku-pelaku di sebalik akaun dan profil maya. Ketekunan, kemahiran forensik digital dan kerjasama rentas agensi menjadi antara elemen penting dalam usaha membanteras jenayah kejam ini yang menyasarkan golongan paling tidak berdaya – kanak-kanak.
Episod ‘Pemburu Pedo’ turut menyelitkan seruan kepada seluruh masyarakat agar tidak sekadar menjadi pemerhati, tetapi tampil sebagai benteng pertama dalam melindungi kanak-kanak daripada menjadi mangsa. Penonton akan disedarkan betapa pentingnya literasi digital, keberanian melaporkan, serta kesedaran ibu bapa dan pendidik untuk sentiasa memantau aktiviti dalam talian anak-anak mereka.
Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan episod istimewa ini yang bukan sekadar menyelongkar sisi gelap dunia siber, tetapi juga membuka mata masyarakat terhadap ancaman sebenar yang berlaku di sekeliling kita. Saksikan ‘Pemburu Pedo’, episod khas program 999 pada 25 Jun 2025, jam 9.00 malam hanya di TV3. Demi masa depan anak-anak, pendedahan ini wajib ditonton oleh setiap lapisan masyarakat.