Festival Aku. Muzik & Kamu (AMK) kembali dengan semangat luar biasa dan kali ini, segala tumpuan terarah kepada kemunculan istimewa kumpulan thrash metal legenda tanah air CROMOK. AMK Indie 2025 bakal berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang pada 26 dan 27 Julai ini, menghimpunkan 21 kumpulan ikonik serta bakat baharu tanah air untuk meraikan muzik alternatif Malaysia.
Buat peminat muzik keras dan nostalgik era 90-an, kehadiran CROMOK pada hari pertama festival adalah satu detik bersejarah. Dikenali dengan riff bertenaga dan pengaruh global mereka dalam arena metal tempatan, CROMOK bakal mengegarkan pentas Sepang bersama barisan mantap seperti SYJ, Monosterio, 6ixth Sense, Plague of Happiness, Metalasia, One Buck Short, Deja Voodoo Spells, SOG, PATRIOTS dan Aboi. Hari kedua pula menampilkan nama-nama besar seperti Meet Uncle Hussain, Empty Page, Butterfingers, Hujan, Seven Collar T-Shirt, SalamMusik, Kyoto Protocol, Midnight Fusic, Gerhana Skacinta dan Monoloque.
Festival dua hari ini bukan sekadar persembahan muzik, ia adalah perayaan besar-besaran terhadap identiti, semangat dan budaya muzik tempatan. AMK Indie 2025 mengekalkan 100% lineup artis Malaysia, tanpa sebarang penyertaan antarabangsa satu kenyataan berani yang menyatukan semangat pemuzik dan peminat dalam satu komuniti yang utuh.
“Festival ini untuk peminat sejati. Tiada artis antarabangsa, tiada nama tangkap muat. Hanya bakat tempatan sepenuhnya,” jelas David Bareng, Ketua Eksekutif Coaction Events, penganjur bersama festival bersama Westzone Entertainment.
Lebih istimewa, festival ini turut membawakan pengalaman penuh lokal, dari muzik ke makanan, suasana, dan tenaga kreatif Malaysia. Dengan kapasiti 30,000 pengunjung, zon tiket pelbagai, serta kawasan makanan kurasi khas, AMK Indie 2025 menjanjikan pengalaman yang tidak akan dilupakan di bawah langit terbuka Sepang.
Tiket bermula serendah RM159, menjadikan festival ini antara yang paling mampu milik tahun ini. Lebih berbaloi, peminat boleh menikmati dua hari penuh persembahan gempak, termasuk aksi CROMOK secara langsung sesuatu yang jarang disaksikan secara besar-besaran dalam festival tempatan.
Sama ada anda membesar bersama irama CROMOK atau baru mahu menyelami dunia muzik indie Malaysia, ini adalah festival yang wajib hadir. Ajak geng, tempah tiket awal dan rasai gegaran sebenar muzik tempatan di AMK Indie 2025.
🎟️ Tiket boleh didapati di:
https://shop.ilassotickets.com.my/eventdetails.aspx?eid=ZPpB7n8HA4E=&reflink=AsiaEmpireRecord