Pengurusan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) hari ini mengumumkan penyerahan rasmi Pelan Strategik dan Hala Tuju Kumpulan FELDA 2025–2030 seperti yang disarankan oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri, semasa Majlis Berbuka Puasa bersama warga FELDA pada 26 Mac lalu.
Pelan komprehensif ini dirangka bagi menggariskan strategi utama dan pelan tindakan menyeluruh untuk memperkukuh kedudukan FELDA sebagai pemangkin utama pembangunan ekonomi, terutamanya di kawasan luar bandar. Ia juga memberi fokus kepada usaha mempertingkat daya saing dan kelestarian jangka panjang organisasi.
Pengurusan FELDA menzahirkan komitmen penuh terhadap pelaksanaan pelan ini, yang bakal membentuk ekosistem lebih dinamik dan inklusif untuk seluruh pemegang taruh. Kejayaan pelan ini memerlukan kolaborasi berterusan dan sokongan menyeluruh daripada semua pihak berkepentingan demi kesejahteraan komuniti FELDA dan masa depan yang lebih gemilang.
Pelan Strategik dan Hala Tuju ini telah dibangunkan melalui enam sesi libat urus bersama pelbagai kumpulan pemegang taruh, melibatkan perbincangan teliti serta input strategik merentasi pelbagai bidang. Ia merangkumi inisiatif berskala besar yang dirangka bagi memastikan FELDA terus relevan dan berdaya saing dalam landskap ekonomi semasa dan masa depan.
Dengan penyerahan pelan ini, FELDA mengukuhkan lagi iltizamnya dalam melaksanakan perubahan strategik demi menjayakan aspirasi transformasi dan kemajuan mapan menjelang tahun 2030.