Cromok

Para peminat muzik thrash metal di Malaysia akan disajikan dengan sebuah konsert yang pasti tidak akan dilupakan—“The Real Cromok”. Konsert yang telah berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 7 Disember 2024 yang lalu ini bukan hanya sekadar persembahan biasa, tetapi sebuah peristiwa bersejarah yang mempertemukan kembali dua gitaris legenda, Hillary Ang dan Man Keedal, bersama Karl dan ahli-ahli asal Cromok yang lain dalam satu pentas.

Salah satu tarikan utama konsert ini adalah kembalinya Hillary Ang selepas 24 tahun meninggalkan Cromok. Hillary, yang menggantikan Karl pada 1999, pernah menjadi nadi utama dalam penulisan lagu dan persembahan band ini. Semasa bersama Cromok, Hillary terlibat dalam penghasilan beberapa album penting seperti “Mean, Meaner, Meanest”, yang memperkenalkan elemen baru dalam muzik heavy metal dengan gaya permainan gitar yang tajam dan penuh tenaga.

Bukan itu sahaja, kemunculan Man Keedal dalam konsert ini juga menjadi momen yang amat dinantikan. Walaupun Man Keedal hanya pernah merakamkan gitar solo untuk lagu “Misery” dalam album “Forever in Time” pada 1993, ini akan menjadi kali pertama beliau bermain secara langsung dengan Cromok. Gandingan ikonik Karl, Hillary, dan Man Keedal di atas pentas dijangka akan mencipta satu pengalaman yang luar biasa untuk para peminat, terutamanya mereka yang mengikuti perjalanan band ini sejak awal lagi.

Konsert “The Real Cromok” ini juga menandakan ulang tahun ke-36 penubuhan band thrash metal yang telah berjaya mencipta legasi dalam dunia muzik tempatan dan antarabangsa. Ditubuhkan di Australia ketika ahli-ahli band masih menuntut di University of Wollongong, Cromok memulakan perjalanan mereka dalam dunia muzik underground sebelum akhirnya mencapai kejayaan besar melalui album sulung mereka, “Image of Purity” (1991).

Sejak dari awal kemunculannya, Cromok telah mencetuskan revolusi dalam dunia muzik metal tempatan, memperkenalkan gabungan unik antara muzik tradisional Malaysia dan thrash metal yang dikenali sebagai “thrashditional”. Dengan pengaruh dari band-band thrash besar dunia, namun turut mengekalkan elemen muzik tradisional yang dekat dengan jiwa masyarakat Malaysia, Cromok telah berjaya membentuk satu identiti yang tiada tandingan.

Selain menghidupkan kenangan muzik mereka, konsert ini juga merupakan penghormatan kepada dua pengasas Cromok yang telah meninggalkan dunia ini. Allahyarham Tarmizi Mokhtar (Miji), pemain dram band ini yang meninggal dunia pada Mac 2024, dan Allahyarham Muhammad Khairuddin (Din), yang meninggal pada 1997, kedua-duanya merupakan tonggak penting dalam sejarah perjalanan band ini. Untuk mengenang jasa mereka, konsert ini akan menampilkan segmen khas sebagai tribute kepada kedua-dua figura penting tersebut.

Bersama-sama Karl (Khairul Anuar Shariff), yang kembali menyertai band ini pada 2012, dan Shamsudin Ali (Sam), pemain bass yang setia bersama Cromok sejak awal, konsert ini bakal membawa peminat menyusuri semula sejarah band yang telah berusia lebih tiga dekad. Tidak hanya menyajikan lagu-lagu klasik yang sudah menjadi ikonik dalam kalangan peminat metal, Cromok juga akan mempersembahkan lagu baru buat pertama kalinya secara langsung.

Karl turut berkongsi bahawa konsert ini bukan sekadar untuk memperingati perjalanan band mereka, tetapi juga untuk memberikan kejutan-kejutan yang pasti membuatkan para peminat teruja. “Bayangkan empat gitaris bermain di atas satu pentas,” kata Karl. “Ini bukan konsert biasa. Kejutan yang bakal terjadi sepanjang malam ini adalah sesuatu yang perlu dilihat sendiri.”

Tiket untuk The Real Cromok kini boleh didapati dengan beberapa pilihan harga, bergantung kepada pengalaman yang diinginkan. Untuk peminat yang ingin menikmati konsert dengan lebih dekat, tiket Royal Box pada harga RM888 bukan sahaja memberi akses ke tempat duduk eksklusif, tetapi juga sesi Meet & Greet bersama band dan cenderahati eksklusif seperti baju-T The Real Cromok.

Bagi mereka yang ingin mendapatkan tiket lebih awal, tiket Early Bird (Berdiri) dijual pada harga RM168 dan boleh didapati dari 27 September hingga 10 Oktober 2024. Tiket normal pula bermula dari RM188 (Berdiri), manakala tiket duduk dijual pada harga RM288 dan RM338. Selain itu, pemegang tiket bertuah juga berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik, termasuk gitar tajaan Cort Guitars yang ditandatangani oleh keempat-empat gitaris Cromok dan pakej penginapan di Hard Rock Hotel.

Konsert “The Real Cromok” ini merupakan peluang emas untuk para peminat menyaksikan sebuah band yang telah menjadi legenda dalam dunia muzik metal Malaysia, menyatukan empat gitaris ikonik dalam satu pentas, dan merayakan sebuah perjalanan muzik yang tidak ternilai. Jika anda seorang peminat muzik thrash metal, atau sekadar mahu merasai pengalaman unik ini, “The Real Cromok” adalah konsert yang tidak boleh dilepaskan.

Dapatkan tiket anda segera dan bersiaplah untuk menyaksikan sejarah yang akan tercipta pada 7 Disember nanti di Zepp Kuala Lumpur! Tiket boleh dibeli melalui www.therealcromok.com atau menghubungi +601113297822 (WhatsApp).