Hakim Hay: Menyentuh Hati Peminat dengan Lagu Hello Cinta di Tahun 2024

Hakim Hay

Industri muzik tempatan kini semakin meriah dengan kehadiran bintang muda, Hakim Hay. Dengan suara merdu dan pesona yang memikat, Hakim Kay pantas menarik perhatian peminat muzik tanah air.

Penyanyi berusia 19 tahun ini memulakan langkah pertama dalam kerjayanya dengan single sulung bertajuk ‘Hello Cinta’. Lagu ini merupakan hasil ciptaan penuh oleh Hanis Rafi, Omar K, dan Iqie Hugh. Hakim Hay mempersembahkan gaya muzik yang segar, menggabungkan elemen pop, balada, dan sentuhan indie yang memikat hati. Vokalnya yang penuh emosi dan kemampuannya dalam menyampaikan lirik yang dekat dengan kehidupan seharian membuatkan Hakim Hay berjaya menambat hati pendengar dengan lagu yang menyentuh jiwa.

Hakim Hay memilih genre ini kerana ia sesuai dengan pasaran muzik semasa dan dekat dengan golongan remaja. “Genre muzik ini mendapat sambutan hangat daripada golongan muda kerana ia mampu menyampaikan mesej yang dekat dengan mereka. Selain itu, populariti genre ini juga berkembang pesat dalam kalangan remaja kerana ia mencerminkan realiti kehidupan mereka pada masa kini,” katanya.

Hakim Hay

“Genre muzik ini juga memberi impak yang positif dan membanggakan kerana ia selari dengan kehendak serta keperluan muzik muda-mudi hari ini. Dengan kata lain, genre muzik ini bukan sahaja mendapat sambutan melebihi jangkaan tetapi juga mampu mengekalkan relevansi dalam industri muzik semasa dengan mencipta gelombang positif dalam kalangan generasi muda,” tambahnya.

“Oleh itu, tidak hairanlah jika genre muzik ini terus menjadi kegemaran remaja dan mampu membentuk identiti mereka melalui lagu-lagu yang unik dan bermakna dalam genre ini,” jelasnya lagi.

Hello Cinta’ mengisahkan seorang jejaka yang jatuh cinta pandang pertama dengan seorang gadis. “Selepas beberapa kali pertemuan, jejaka itu berada dalam dilema sama ada untuk menegur dan berkenalan dengan gadis tersebut. Setelah berkenalan, bibit-bibit cinta mula berputik antara mereka. Mampukah jejaka ini mengisi ruang hati si gadis yang baru dikecewakan kekasih terdahulu? ‘Hello Cinta’ ada jawapannya,” kongsi Hakim Hay.

Hakim Hay juga menceritakan pengalamannya merakam lagu ini dan bekerjasama dengan komposer serta pasukan penerbitan dalam menghasilkan video muzik ‘Hello Cinta’. “Proses rakaman lagu ini tidak lama, hanya mengambil masa kurang enam jam untuk mendapatkan rentak dan ‘tone’ suara yang sesuai. Komposer seperti Hanis Rafi, Omar K, dan Iqie Hugh sangat mudah untuk bekerjasama dan banyak memberi tunjuk ajar sepanjang proses rakaman,” katanya.

“Penggambaran video muzik pula diarahkan oleh Amylea Azizan yang mempunyai jiwa muda, menggambarkan penceritaan lagu dengan cara yang santai, ‘sweet’, dan bersahaja. Tidak lupa juga kepada semua kru yang terbabit serta pelakon Zarif Ghaz dan Alissa yang memberikan komitmen sangat baik sepanjang penggambaran,” tambahnya lagi.

Hakim Hay

Sebagai penyanyi baru, Hakim Hay berharap lagu ‘Hello Cinta’ dapat diterima baik oleh peminat muzik tempatan. “Saya sangat bersemangat untuk menyampaikan mesej cinta melalui lagu ini, dengan harapan dapat menginspirasi dan menyentuh hati pendengar. Dengan melodi yang indah dan lirik yang mendalam, saya berharap lagu ini dapat menjadi sumber kegembiraan dan ketenangan bagi mereka yang mendengarkannya,” katanya penuh harapan.

“Dengan penuh semangat, saya ingin berkongsi bakat saya dengan lebih ramai orang serta membina hubungan yang lebih rapat dengan komuniti muzik tempatan. Inilah yang mendorong saya untuk terus berkarya dan menghasilkan lagu-lagu yang bermakna, dengan impian untuk mencapai kejayaan yang lebih besar dalam arena muzik tempatan,” tambahnya lagi.

“Semoga lagu ini juga menjadi batu loncatan untuk terus memahat nama di hati penggemar muzik tanah air. Mungkin ke pentas prestij Anugerah Juara Lagu?,” katanya mengakhiri perbualan.