Kuala Lumpur– Bahagian Penguat Kuasa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sentiasa memberikan perlindungan hak intelek bagi melindungi pemilik industri kreatif daripada pencabulan hak intelek mereka menerusi penjualan barangan tiruan dan cetak rompak.

Walaupun kerajaan ingin merancakkan semula aktiviti ekonomi domestik setelah krisis pandemik Covid-19 yang telah dihadapi oleh negara, aktiviti perniagaan yang menyalahi undang-undang harta intelek tetaplah dilarang. Di samping itu, KPDNHEP akan menjalankan operasi pemeriksaan dan operasi ke atas individu atau peniaga yang mengambil kesempatan dan masih berdegil dalam menjalankan urus niaga barangan tiruan dan cetak rompak di seluruh negara secara berterusan.

Dengan ini, KPDNHEP menegaskan bahawa sekiranya mereka dapati mana-mana individu/peniaga yang menjual barangan cetak rompak dan tiruan, tindakan tegas akan diambil ke atas mereka di bawah Akta Cap Dagangan 2019 (ACD 2019) dan Akta Hakcipta 1987 (AHC 1987). Jika disabitkan kesalahan, denda yang boleh dikenakan di bawah APD 2019 adalah sehingga RM 10,000.00 bagi setiap barang tiruan yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar atau boleh dikenakan penjara sehingga 3 tahun atau kedua-duanya sekali. Manakala denda yang boleh dikenakan di bawah AHC 1987 pula adalah sehingga RM 20,000.00 bagi setiap salinan langgaran hakcipta atau penjara sehingga 5 tahun atau kedua-duanya sekali.

Sepanjang tahun 2018 hingga Julai 2020, sebanyak 1,421 kes yang melibatkan barang tiruan telah dicatatkan dengan nilai rampasan sebanyak RM 31,065,886.00. Daripada jumlah yang tersebut sebanyak 75 kes adalah melibatkan kes tangkap, reman dan tuduh di mahkamah bagi peniaga-peniaga yang melakukan kesalahan menjual barang tiruan. Manakala bagi penguatkuasaan cetak rompak, kes yang dihasilkan pada tempoh yang sama adalah sebanyak 438 kes dengan nilai rampasan sebanyak RM 4,173,970.00.

Sebagai satu bentuk penguatkuasaan yang lebih serius dalam menangani isu ini, penguatkuasaan akan dipanjangkan kepada pemilik premis atau bangunan yang membenarkan aktiviti penjualan barangan tiruan dan cetak rompak yang dijalankan di premis seliaan atau milikan mereka. Ini secara langsung akan memberi peringatan kepada mereka supaya melarang premis mereka digunakan sebagai premis yang menjalankan aktiviti perniagaan yang melanggar undang-undang yang dikuatkuasakan oleh KPDNHEP. Pemilik premis atau bangunan yang membenarkan premis mereka digunakan untuk menjual barangan tiruan atau cetak rompak boleh diambil tindakan penguatkuasaan di bawah ACD 2019 dan AHC 1987.

KPDNHEP juga akan turut mengambil tindakan tegas dengan menggunakan peruntukan kesalahan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA), yang membolehkan kesemua akaun milik pesalah/suspek dibekukan dan dilucuthak jika didapati menjual barangan tiruan atau cetak rompak. Peruntukan kesalahan ini juga turut terpakai kepada mana-mana pemilik premis perniagaan atau bangunan yang menyediakan atau menyewakan premis mereka kepada individu/peniaga yang menjual barangan tiruan dan cetak rompak kerana bersubahat dan bekerjasama dengan perniagaan terbabit.

KPDNHEP memandang perkara ini dengan serius dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu/peniaga yang terlibat menawarkan penjualan barangan tiruan dan cetak rompak. Selain itu, KPNDHEP akan bekerjasama dengan Agensi Penguatkuasaan Undang-Undang lain yang berkaitan antaranya Pihak Berkuasa Tempatan, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDM) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dalam usaha membanteras penjualan barangan tiruan dan cetak rompak.

Sekali lagi, KPDNHEP ingin memberi amaran tegas kepada mana-mana peniaga yang menjalankan urus niaga barangan tiruan dan cetak rompak agar menghentikan aktiviti perniagaan tersebut. Sekiranya dijumpai di mana-mana premis yang menjual barangan tiruan dan cetak rompak di pasaran fizikal mahupun pasaran dalam talian (online market place), masyarakat/orang awam boleh membuat aduan kepada KPDNHEP di talian 1-800-886-800 atau Whatsapp ke 019-2794317 atau melalui portal eaduan.kpdnhep.gov.my untuk diambil tindakan sewajarnya.