World#QuranHour pupuk kesederhanaan masyarakat – Sinar Harian

World#QuranHour pupuk kesederhanaan masyarakat – Sinar Harian

SHAH ALAM – Pemilihan Surah Al-Insan sebagai tema bagi program World#QuranHour pada 13 April ini disifatkan sebagai satu usaha memupuk kesederhanaan dalam kalangan masyarakat Islam di seluruh negara selaras dengan konsep Malaysia Madani.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris, kesederhanaan itu merangkumi dari segi mewujudkan persamaan dan keharmonian yang kian terhakis berikutan perbezaan pendapat serta pemikiran antara satu sama lain.

Justeru, pihaknya menyambut baik usaha Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) itu dan bersedia membantu menyiarkan program tersebut menerusi siaran televisyen mereka.

“Banyak perbezaan pendapat, kefahaman agama dan politik telah wujud dan membawa perselisihan sesama kita.

“Oleh itu, tema Surah Al-Insan dalam program tersebut yang mempunyai nilai kemanusiaan serta penghayatan hidup dengan kesederhanaan ini diharapkan dapat menjadi titik tolak terhadap meredakan semua kekusutan berkenaan.

“Kita juga amat berbesar hati dapat membantu menyiarkan acara World#QuranHour memandangkan sudah beberapa tahun terlibat dengan kolaberasi ini,” kata beliau kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Namanzee menambah, beliau turut menzahirkan kekaguman terhadap beberapa media lain yang turut bekerjasama menyiarkan secara langsung majlis itu.

Ujarnya, ia sekali gus membuktikan bahawa selain memberi peluang kepada orang ramai bagi menghayati kitab suci al-Quran, acara berkenaan juga menjadi rapat umum antara media di negara ini.

“Kebiasaannya, kita sentiasa bersaing bagi memberikan yang terbaik kepada audiens. Tetapi menerusi program ini ia nampak mewujudkan suasana kesatuan dalam kalangan media di negara.

“World#QuranHour kini menjadi acara yang popular kerana membolehkan orang ramai dapat mempelajari al-Quran dan mendapat interpretasinya dengan lebih santai.

“Maka, kita amat berharap program ini akan mendapat kerjasama penyiaran dan publisiti yang lebih luas dari seluruh media di Malaysia,” katanya.

Orang ramai yang ingin menjadi peserta World #QuranHour, sila daftar https://bit.ly/KEHADIRANWQH1444H2023. Untuk mendaftar sebagai penganjur di lokasi masing-masing, sila klik di: https://bit.ly/HOTSPOTWQH2023.

Sumber