World #QuranConvention 5.0 wujudkan rangkaian global acuan Islam

World #QuranConvention 5.0 wujudkan rangkaian global acuan Islam

SHAH ALAM – World #QuranConvention 5.0 yang bakal berlangsung pada 2 Disember ini bakal menjadi platform untuk membina asas kehidupan dalam membentuk kerangka fikir dan karakter diri menerusi Surah Al-Insan.

Pengarah dan penceramah World #QuranConvention 2023, Ustaz Nouman Ali Khan berkata, program berkenaan bukan sekadar membuka penyertaan orang ramai hadir pada mendengar ceramah semata-mata dilihat bakal memainkan peranan penting dalam membentuk hubungan, rangkaian umat Islam seluruh dunia.

Menurutnya, lokasi konvensyen itu nanti diharap akan menjadi tempat berkumpulnya ahli perniagaan, usahawan, pemain industri, pemimpin ke arah mewujudkan rangkaian global mengikut acuan Islam.

“Saya sebenarnya begitu teruja untuk mengendalikan konvensyen ini kerana peserta hadir bukan sahaja dari Malaysia bahkan turut meliputi Singapura, Indonesia, Brunei, Jerman, Perancis, Amerika Syarikat, Uzbekistan, Australia, Filipina dan India,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Road To QuranHour Convention Surah Al-Insan yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook QuranHour pada Selasa.

Program berkenaan dianjurkan oleh Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) dengan kerjasama Bayyinah Institute yang berpangkalan di Dallas, Texas yang bertemakan ‘Serve To Be Served: A Divine Guidance From Surah Al-Insan’ akan berlangsung di Movenpick Hotel & Convention Centre KLIA, Sepang.

World #QuranConvention merupakan sebuah usaha mengajak ummah untuk berinteraksi dengan al-Quran melalui baca, faham dan amal.

Jelasnya, dengan menyasarkan individu, organisasi dan pemain industri hospitaliti atau penyediaan layanan seperti hospital, agensi kerajaan dan swasta, ia mampu meningkatkan sektor ekonomi negara secara langsung.

“Tema Serve To Be Served: A Divine Guidance From Surah Al-Insan, konvensyen kali ini turut memfokuskan kepentingan untuk menyantuni ummah berlandaskan al-Quran yang dipraktikkan dalam setiap dimensi masyarakat sama ada secara individu, keluarga, masyarakat dan negara.

“Sebagai contoh rantaian ekonomi adalah penting untuk membangunkan masyarakat dan negara, bagaimana untuk memastikan ia dapat membantu seluruh rantai masyarakat pembuat dasar, pemimpin misalnya perlu menyediakan program latihan dan kemahiran berbanding memberikan bantuan semata-mata,” ujarnya

Tambahnya lagi, lebih menarik lagi apabila konvensyen itu bakal menjadi medan untuk berinteraksi, bertukar fikiran menerusi sesi soal jawab bersama penceramah.

“Saya bagi pihak penganjur turut mengalu-alukan penyertaan dan penajaan daripada organisasi, syarikat serta dermawan bagi membolehkan mereka yang tidak berkemampuan turut hadir mengikuti konvensyen kali ini,” katanya.

Difahamkan Pertandingan Menulis Cerita bertemakan ‘Jalan Hidayah’ berdasarkan Surah Al-Insan yang penyertaan dibuka sejak 5 November lalu mendapat 800 penyertaan.

Antara penceramah yang bakal hadir adalah Imam Besar Masjid Istiqlal, Profesor Dr KH.Nasaruddin Umar; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Nai’im Mokhtar; Menteri Komunikasi Digital dan Multimedia, Fahmi Fadzil; Pengasas Ibn ‘Ashur Centre, Dr Sohaib Hussein serta ramai lagi.

Sumber