Wings Live in Kuching

Wings Live in Kuching

Wings bakal melangsungkan konsert di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), KLCC pada 15 Julai ini. Dikhabarkan tiket konsert tersebut habis dijual dalam tempoh 15 minit selepas dilancarkan.

38 tahun bertapak dan menempah nama dalam industri muzik tanah air, Wings merupakan salah satu kumpulan lagenda rock yang cukup disegani.

Wings yang dianggotai oleh Dato’ Awie selaku vokalis, Syam dan Edrie selaku pemain gitar, Eddie selaku pemain bass dan Black selaku pemain dram.

Wings kembali menerusi Showcase Wings One Night Only Live in Kuching di Sarawak Chambers, Riverside Majestic Hotel, Kuching pada 27 Ogos 2022.

“Wings adalah kumpulan rock lagenda yang masih utuh sehingga sekarang. Awie sebagai penyanyi utama Wings mempunyai ramai pengikut. Begitu juga lagu-lagu Wings yang masih segar dalam ingatan peminat walau di mana sahaja mereka berada termasuklah di Sarawak,” kata penganjur Bidari Mohamad Suhaili dari BMS EVENT.

Menerusi penganjuran Showcase Wings One Night Only Live in Kuching, Bidari berharap konsert ini mendapat sambutan sekaligus dapat membantu badan bukan kerajaan (NGO) National Cancer Society Cawangan Sarawak.

Sementara itu, penganjur bersama, Pengarah Urusan HS Shazlicious berkata Mubarak Akhtar berkata, “Kuching antara lokasi yang sentiasa dinantikan peminat Wings di sana.

“Sebenarnya sudah 10 tahun Wings tidak buat showcase atau konsert di Sarawak. Wings ada peminat di sana. Malah Kuching juga antara bandar besar nak buat konsert. Jadi, kita harap dengan adanya Showcase Wings One Night Only Live in Kuching ini peminat Wings boleh hadir bagi mengubat rindu. Dalam masa sama, mereka boleh membuat sumbangan untuk tabung National Cancer Society cawangan Sarawak.

Penganjuran Showcase Wings One Night Only Live in Kuching dibuat seminggu selepas Showcase Romantika Awie di Kota Kinabalu, Sabah.

“Dato’ Awie selaku penyanyi tidak ada masalah kerana lagu-lagu Wings dan Awie berbeza. Awie bersetuju untuk menjayakan dua persembahan besar ini dalam jarak seminggu. Malah dari segi latihan pun tak ada masalah. Bagi Awie, cukup masa rehat seminggu. Lagi pula range muzik Wings dan lagu solo Awie berbeza. Jadi tak ada masalah buatnya,” tambahnya lagi.

Konsert selama dua jam itu bakal menyaksikan Wings menyampaikan hampir 20 lagu.

Harga tiket dibahagikan kepada beberapa kategori dengan harga bermula dari RM3000 hingga RM12,000 untuk 10 orang semeja. Tiket akan mula dijual pada 24 Jun melalui pasukan pemasaran BMS Event. Penempatan meja adalah berdasarkan harga dan first come first serve basic.