TM tingkat pengalaman pelanggan menerusi spektrum 2600 MHZ

TM tingkat pengalaman pelanggan menerusi spektrum 2600 MHZ

KUALA LUMPUR – Telekom Malaysia Bhd (TM) komited untuk meningkatkan aspek pengalaman, kapasiti serta nilai untuk pelanggannya menerusi spektrum jalur 2600 megahertz (MHz) yang diperoleh daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), baru-baru ini.

Syarikat tersebut telah menerima surat tawaran daripada SKMM merangkumi blok spektrum 20 MHz daripada jalur 2600 MHz menerusi anak syarikatnya, Webe Digital Sdn Bhd.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Isnin, TM berkata, penugasan bagi 20 MHz dalam jalur frekuensi 2575-2595 MHz itu berkuat kuasa mulai 1 Julai, 2022 dan turut membabitkan yuran sebanyak RM37 juta dalam tempoh lebih lima tahun, termasuk yuran pendahuluan sebanyak RM7.06 juta dan tahunan RM5.98 juta yang perlu dibayar menjelang 15 Disember pada setiap tahun.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Imri Mokhtar berkata, spektrum tersebut memberi nilai dan leveraj besar kepada TM sebagai peneraju penyedia konvergen.

Beliau berkata, penerimaan tawaran spektrum itu juga seiringan dengan hala tuju masa depan TM dalam ruang digital yang dinamik.

Malah, peningkatan kapasiti terbabit akan membolehkan syarikat menyediakan akses tetap dan tanpa wayar selain kandungan kepada pelanggan runcit serta perusahaan tanpa mengira lokasi mereka.

“Bersandarkan infrastruktur gentian kami yang kukuh dan meluas, spektrum ini akan turut membantu pengembangan perkhidmatan telekomunikasi di masa depan untuk pelanggan serta pengalaman konvergen secara menyeluruh.

“Peruntukan spektrum itu membolehkan TM menyokong agenda negara dalam menyampaikan liputan telekomunikasi secara meluas dengan kualiti perkhidmatan yang tinggi, terutama menerusi Jalinan Digital Negara (Jendela) dan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital),” katanya. – Bernama



Sumber