MPOB pelawa usahawan sabun jalani ujian di Pusat Inkubasi Oleokimia

MPOB pelawa usahawan sabun jalani ujian di Pusat Inkubasi Oleokimia

KUALA LUMPUR – Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menggalakkan pembuat sabun menggunakan minyak sawit sebagai bahan utama dalam formulasi sabun mandian dan mempelawa usahawan-usahawan ini menjalankan ujian prapemasaran di Pusat Inkubasi Oleokimia.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, kemudahan pengeluaran sabun yang terletak di ibu pejabat MPOB di Bandar Baru Bangi itu menawarkan beberapa siri kemudahan untuk ujian prapemasaran bagi pengeluaran pelbagai jenis sabun berasaskan sawit.

“Perkhidmatan tersebut menawarkan pakej lengkap yang terdiri daripada formula, kemudahan ujian kualiti dan pasukan kakitangan dan pegawai yang cekap bagi membantu pihak yang berminat untuk mengendalikan kemudahan dan merumuskan ramuan sawit ke dalam produk yang dikehendaki,” katanya di dalam satu kenyataan pada Isnin.

Agensi yang bertanggungjawab untuk promosi dan pembangunan industri minyak sawit di Malaysia itu berkata, sabun berasaskan sawit dibangunkan dengan bahan-bahan asli dari sumber semula jadi, selamat dan mesra alam, yang sesuai dengan permintaan pengguna masa kini.

Bagaimanapun, penambahan bahan aktif memberikan fungsi unik serta ‘niche’ kepada sabun dan ia merupakan strategi dalam pemasaran produk, menurut MPOB.

MPOB telah melabur kira-kira RM400,000 untuk loji rintis sabun pertamanya yang telah dinaik taraf.

Loji rintis berkenaan mempunyai kapasiti 10 kilogram bagi setiap kumpulan dan setiap pelanggan kebiasaannya menggunakan kemudahan untuk percubaan pengeluaran 1,000 buku sabun. – Bernama



Sumber