Teks Ucapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) YB Senator Datuk Dr. Haji Zulkifli Mohamad Al-Bakri di Majlis Pelancaran Jariah Fund

Teks Ucapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) YB Senator Datuk Dr. Haji Zulkifli Mohamad Al-Bakri di Majlis Pelancaran Jariah Fund

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan limpah kurniaNya dapat kita bersama-sama meraikan Majlis Pelancaran Jariah Fund Bank Muamalat Malaysia Berhad.

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada Bank Muamalat kerana telah mewujudkan sebuah platform pendanaan awam yang dinamakan Jariah Fund. Di samping itu, jutaan terima kasih serta penghargaan kepada rakan-rakan amal yang turut menjayakan platform Jariah Fund.

Pendanaan awam (crowdfunding) merujuk kepada kutopan dana daripada saudara mara, sahabat, rakan sekerja, mahupun orang ramai untuk membantu dan melaksanakan satu projek.

Kutipan sumbangan sudah tidak asing dalam masyarakat kita yang terkenal dengan hati yang pemurah. Satu amalan mulia yang diamalkan dalam masyarakat kita apabola seseorang ditimpa musibah, maka kita akan membuat kutipan sumbangan ataupun derma kilat bagi meringankan beban pihak yang ditimpa musibah tersebut. Kutipan derma ini dilakukan dengan pelbagai cara. Kalau zaman dahulu, masjid digunakan sebagai wadah untuk hebahan kutipan selepas solat fardu.

Namun pada hari ini dengan kemajuan internet dan teknologi kewangan (fintech), konsep pendanaan awam juga turut berkembang dan maju. Antara kelebihan pendanaan awam menggunakan teknologi ialah hebahan dapat ‘diviralkan’ dengan lebih meluas, kutipan diperolehi dalam masa yang singkat dan dana diberikan kepada penerima secara langsung. Inilah kelebihan apabila kita memanfaatkan teknologi dan media sosial untuk kebaikan.

Justeru itu, saya amat berbangga dengan Bank Muamalat yang menjadi peneraju di kalangan institusi Kewangan Islam di negara ini yang telah menggunakan kepakaran dalaman untuk mewujudkan sebuah platform pendanaan awam untuk tujuan amal. Saya kira, Bank Muamalat tampil bersama Jariah Fund pada waktu dan keadaan yang tepat.

Kita harus akui bahawa kehadiran Wabak Pandemik Covid19 sedikit sebanyak mengganggu keadaan ekonomi negara kita. Keadaan itu turut dirasai oleh semua lapisan, tidak terkecuali peniaga-peniaga kecil. Justeru, diharapkan dengan adanya Jariah Fund hasil inisiatif murni Bank Muamalat ini dapat menyantuni golongan yang memerlukan dan meringankan beban masyarakat.

Saya juga tertarik dengan konsep Jariah Fund yang menyasarkan projek kepada tiga kategori iaitu pendidikan, kesihatan dan pemerkasaan ekonomi. Saya meyakini dengan berfokus kepada 3 kategori ini akan memberikan impak yang besar kepada pembangunan masyarakat.

Saya juga bersetuju dan ingin menyatakan rasa teruja apabila pelaksanaan Jariah Fund adalah hasil jalinan kerjasama antara dua pihak iaitu pihak Bank dan rakan amal yang terdiri daripada Badan Bukan Kerajaan (NGO), Organisasi Bukan Berasaskan Keuntungan (NPO), pertubuhan dan kelab, Hal ini selari dengan anjuran agama yang menyarankan supaya kita bantu-membantu dalam perkara kebaikan.

Datuk Seri, Tuan-tuan dan puan puan yang dikasihi sekalian,

Agama Islam sangat menggalakkan umatnya untuk sering bersedekah. Nabi Muhammad SAW merupakan ikutan tauladan yang sering bersedekah. Bahkan disana terdapatan banyak fadhilat dan kelebihan daripada amalan bersedekah.

Allah SWT dengan kemurahan-Nya akan mengembangkan sedekah dan infaq yang dikeluarkan oleh orang-orang yang ikhlas dan memberi mereka balasan yang lebih banyak.

Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata: Allah SWT menjelaskan tentang pahala orang-orang yang berinfaq dan pahala berinfaq dalam setiap keadaan dan waktu. Barangsiapa yang bersedekah – baik pada waktu malam atau siang hari, dengan cara sembunyi-sembunyi atau terang-terangan, dalam keadaan dirinya sendiri memerlukan atau tidak – maka baginya pahala yang sempurna di sisi Tuhan. Tifak ada ketakutan baginya di akhirat dan tidak pula dia merasa khuatir dan bersedih. Maksudnya tidak ada ketakutan baginya ketika menghadapi kedahsyatan hari Kiamat dan tidak pula dia bersedih dan khuatir terhadap keadaan anak-anaknya setelah dia meninggal dunia. Dia juga tidak merasa sedih dan menyesali atas apa yang dia tidak mampu raih dari kehidupan dunia dan keindahannya. Ini kerana dia telah menjumpai apa yang jauh lebuh baik daripada semua itu.

Datuk Seri, tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian,

Akhir kata, sekali lagi saya ucapkan tahniah dan syabas kepada Bank Muamalat Malaysia Berhad dan semua yang terlibat dalam menjayakan platform pendanaan awam Jariah Fund. Semoga prestasi cemerlang yang ditunjukkan ini akan menjadi contoh kepada Institusi Kewangan Islam di negara ini. Saya amat berharap agar budaya dan momentum kecemerlangan ini dapat diteruskan dan dijadikan teras di dalam Bank Muamalat.

Sekian, Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmutallahi Wabarakatuh.