Taco Bell sasar buka 30 cawangan menjelang akhir tahun

Taco Bell sasar buka 30 cawangan menjelang akhir tahun

Danny Nesan Santiago (tengah) bersama staf Taco Bell dan AEON Mall sewaktu merasmikan Majlis Pembukaan Cawangan Taco Bell ke-22 di AEON Taman Maluri pada Jumaat.

Danny Nesan Santiago (tengah) bersama staf Taco Bell dan AEON Mall sewaktu merasmikan Majlis Pembukaan Cawangan Taco Bell ke-22 di AEON Taman Maluri pada Jumaat.

RESTORAN makanan segera dari Amerika Syarikat (AS), Taco Bell meletakkan sasaran untuk membuka 30 cawangan seluruh negara menjelang akhir tahun ini.

Ketua Pegawai Operasinya, Danny Nesan Santiago berkata, sasaran itu boleh dicapai kerana pada Disember tahun lalu, pihaknya telah berjaya membuka lima cawangan dalam tempoh sebulan.

“Kami menyasarkan lapan lagi cawangan dan ia akan dibuka di sekitar Kuala Lumpur dan mungkin Johor.

“Keyakinan itu ada. Tahun lepas, pada Disember kami berjaya buka lima cawangan dalam tempoh sebulan sahaja tapi perlu bekerja keras sedikit untuk capai sasaran,” katanya selepas merasmikan Majlis Pembukaan Cawangan Taco Bell ke-22 di AEON Taman Maluri pada Jumaat.

Danny Nesan menjelaskan, Taco Bell ditubuhkan pada April 2021 dan latihan pengendalian makanan dilakukan secara dalam talian selama hampir tiga bulan akibat penularan Covid-19 yang menyekat pergerakan keluar masuk antara negara ketika itu.

Menurutnya, ia adalah satu kejayaan besar apabila berjaya membawa satu jenama yang besar seperti ini dalam negara.

Beliau memaklumkan, pekerja yang berkhidmat di cawangan Taco Bell adalah terdiri daripada pelajar Kolej Komuniti dan warga tempatan.

“Kami bekerjasama dengan enam Kolej Komuniti sekitar Selangor untuk mendapatkan pekerja terlatih menerusi latihan industri selama tiga bulan di beberapa cawangan terpilih.

“Inisiatif ini adalah untuk memberi peluang pekerjaan kepada warga tempatan serta pelajar kolej terlibat,” ujarnya.

Tambah beliau, Taco Bell Malaysia mempunyai satu program kerjaya khusus di mana kru berpeluang untuk menjadi pengurus restoran atau pembantu pengurus restoran.

“Ia dapat dibuktikan apabila, 20 daripada 35 kru kini telah berjaya menjadi pengurus dan pembantu pengurus restoran sejak awal pembukaan cawangan pertama.

“Saya ucapkan jutaan terima kasih kepada yang menyokong produk kami dan bagi mereka yang belum mencuba, sila datang dan rasai sendiri. Tak kenal maka tak cinta,” katanya.

Sumber