Nilai ringgit meningkat berbanding dolar

Nilai ringgit meningkat berbanding dolar

NILAI ringgit meningkat berbanding dolar AS pagi ini didorong oleh permintaan terhadap mata wang domestik yang bertambah baik dan apabila hasil bon AS menyusut daripada paras tertinggi 16 tahun, kata seorang penganalisis.

Pada 9.03 pagi, mata wang tempatan menambah nilai kepada 4.6930/6975 berbanding dolar AS daripada penutup Rabu pada 4.7055/7105.

Pasaran ditutup pada hari Khamis sempena sambutan Maulidur Rasul.

Menurut rakan pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes, selera risiko global kelihatan lebih baik dirangsang oleh pasaran saham AS yang lebih tinggi, hasil bon AS yang rendah dan pendapatan perindustrian yang kian menggalakkan di China dan ini sepatutnya memberikan sedikit ruang “bernafas” untuk ringgit.

Mata wang tempatan diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama yang lain.

Ringgit mengukuh berbanding euro pada 4.9567/9615 daripada penutupan dagangan Rabu 4.9690/9743, meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.1412/1445 daripada 3.1534/1570 tetapi menyusut nilai berbanding pound Britain kepada 5.7250/7305 daripada 5.7167/7228.

Namun begitu, berbanding mata wang Asia pula, ringgit diniaga bercampur-campur.

Nilai ringgit meningkat berbanding baht Thai pada 12.8119/8298 daripada 12.8759/8949 dan lebih tinggi berbanding rupiah Indonesia pada 302.3/302.8 daripada 303.1/303.6 sebelumnya.

Ringgit sedikit berubah berbanding peso Filipina pada 8.27/8.28 daripada 8.26/8.28 dan susut berbanding dolar Singapura pada 3.4351/4386 daripada 3.4334/4373 sebelumnya. – Bernama

Sumber