SME Bank perkenal SRP

SME Bank perkenal SRP

SME Bank memperkenalkan Program Kemudahan PKS (SRP) untuk membantu semua pelanggannya selepas tempoh moratorium berakhir pada 30 September ini.

Program dijangka memberi manfaat kepada 3,000 pelanggan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) melibatkan pembiayaan bernilai lebih RM1.8 bilion.

Ia menyasarkan sektor pelancongan, pengangkutan, pendidikan dan kesihatan yang terjejas secara langsung dan tidak langsung akibat penularan koronavirus (Covid-19).

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, SME Bank secara proaktif telah memainkan peranan dalam membantu sektor PKS yang terjejas melalui penangguhan bayaran pembiayaan dan bayaran sewa bagi kompleks premis usahawannya.

“Bank berkenaan turut diberi mandat untuk mengagihkan dua dana melalui Penjana iaitu Skim SME Go dan Dana Transformasi Teknologi PKS (STTF) di samping pelbagai dana lain yang diumumkan Kerajaan melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) seperti Kemudahan Bantuan Khas (SRF), Agromakanan, Kemudahan Automasi dan Digital (ADF) serta Kemudahan Semua Sektor Ekonomi (AES),” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Sementara itu, Presiden Kumpulan / Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putera Ismail berkata, semua pelanggan SME Bank layak untuk memohon bantuan yang ditawarkan mengikut terma dan syarat yang telah ditetapkan.

“Dua bentuk bantuan ditawarkan ialah pertama program Indulgence, merujuk kepada penangguhan ke atas bayaran prinsipal dan bayaran kadar keuntungan pembiayaan serta yang kedua ialah program bayaran untuk kadar keuntungan sahaja.

“Kami akan mempertimbangkan untuk memanjangkan tempoh pembiayaan kepada pelanggan yang layak bagi membolehkan mereka menguruskan aliran tunai dengan lebih berkesan dan merancang semula pelan perniagaan dengan lebih baik semasa tempoh pemulihan susulan Covid-19,” katanya.



Sumber