Yakult penaja rasmi MSDeaf

Yakult penaja rasmi MSDeaf

YAKULT Malaysia Sdn Bhd (Yakult) telah menandatangani perjanjian penajaan dengan Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf) bernilai RM16,000.

Perjanjian menyaksikan Yakult sebagai minuman probiotik rasmi kepada MSDeaf selama setahun.

Perjanjian ditandatangani oleh Pengarah Urusan Yakult, Hiroshi Hamada dan Presiden MSDeaf, Ong Shin Ruen di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Di samping perjanjian berkenaan, pengeluar minuman kesihatan itu turut menyerahkan sebanyak 52 pasang kasut bola terpakai diterima daripada Puma Jepun kepada persatuan berkenaan.

Ia diperoleh hasil kerjasama antara ASEAN Yakult dengan kelab Liga Jepun iaitu Cerezo Osaka.

Sementara itu, Hamada berkata, perjanjian merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) Yakult.

Menurutnya, Yakult memilih MSDeaf kerana persatuan tersebut masih belum dibantu oleh mana-mana pihak swasta.

Katanya, Yakult adalah syarikat swasta pertama di negara ini tampil menghulurkan bantuan, sekali gus bekerjasama dengan persatuan berkenaan.

“Saya teruja dengan mereka walaupun tidak boleh berkomunikasi antara satu sama lain tetapi mereka menguruskan persatuan dengan baik.

“Atas sebab itu juga, kami tampil memberikan bantuan dan menjalinkan kerjasama jangka panjang dengan mereka,” katanya kepada Bisnes Sinar.

Beliau berkata, pihaknya juga memilih MSDeaf kerana kelab berkenaan mempunyai hubungan yang baik dengan persatuan sama di Jepun.

“Saya ada hubungi persatuan orang pekak di Jepun dan mereka memberitahu MSDeaf merupakan sebuah persatuan yang kuat dan mereka mengenali antara satu sama lain.

“Selain Jepun, persatuan tersebut juga mempunyai hubungan dengan persatuan orang pekak di Thailand dan Korea Selatan,” katanya.

Dalam pada itu, Hamada berkata, pihaknya juga sedang berusaha mengajak lebih banyak syarikat Jepun yang beroperasi di Malaysia untuk turut sama membantu persatuan berkenaan.

“Saya telah menghubungi kedutaan Jepun di Malaysia mengenai hal ini dan mereka bersetuju untuk turut sama membantu.

“Saya menjangkakan sekurang-kurangnya tiga buah syarikat Jepun akan turut sama dalam projek ini bagi membantu MSDeaf,” katanya.



Sumber