SETIAP usaha baik yang kita lakukan pasti akan ada ujiannya tersendiri.
Antara cabaran paling utama adalah halangan yang datangnya daripada diri kita sendiri.
Adakalanya, kita tidak sedar sebenarnya ada sifat dan cara berfikir kita yang boleh menghalang kebahagiaan daripada menjengah diri kita.
Apakah sifat-sifat yang selalu menyekat jalan untuk kita menuju bahagia?
1. Tamak dan haloba
Perasaan itu adalah musuh utama manusia dalam dunia serba mencabar kini.
Ini kerana kebanyakan manusia mengejar kemewahan dan kemasyhuran yang akhirnya menjadikan pencapaian material adalah matlamat akhir mereka.
Kadangkala, ada yang alpa sehingga terlupa jalan yang halal dan haram kerana mata hati telah dibutakan dengan limpahan wang ringgit dan harta.
2. Sombong dan menunjuk-nunjuk
Individu bersikap seperti ini tidak akan mencapai ketenangan dalam hidupnya.
Mereka terlalu sibuk mengejar kemewahan dan kemasyhuran kerana mahu orang lain kagum dan tahu pencapaiannya.
Sedar atau tidak, sifat menunjuk-nunjuk biasanya akan datang seiring dengan sikap sombong.
Lebih menyedihkan lagi, orang yang menunjuk-nunjuk di dalam ibadah, tidak akan diterima ibadahnya.
3. Tidak bersyukur dan berterima kasih
Tidak bersyukur di sini merujuk kepada perasaan tidak terhutang budi kepada ALLAH manakala, tidak berterima kasih pula dirujuk kepada perasaan tidak terhutang budi sesama manusia.
Sebenarnya, tiada manusia yang boleh membesar tanpa perlu bergantung kepada ibu bapa atau penjaga dan perlindungan daripada Tuhan.
Hakikatnya, dengan kasih sayang, penjagaan dan perhatian itulah kita boleh berjaya.
Maka, berbekalkan rasa syukur dan terima kasih akan menjadikan hidup kita sentiasa dalam ketenangan.
Sebaliknya, insan yang tidak tahu bersyukur dan berterima kasih pula tidak akan tenang kerana dia seolah-olah menafikan hak orang lain dan hak Sang Pencipta.
4. Suka mengungkit
Memang diakui ada orang di sekeliling kita yang suka mengungkit kesalahan orang lain, kebaikan yang pernah dilakukan mahupun kenangan pahit yang dilalui.
Jika tujuannya untuk mengingatkan diri sendiri dan orang lain supaya tidak mengulangi kesilapan, mungkin tindakan itu adalah wajar.
Namun, bagaimana jika tujuannya untuk memburuk-burukkan keadaan?
Sudah tentu tidak boleh kerana ia akan mencetuskan semula persengketaan dan memulangkan paku buah keras, bahkan juga, boleh melukakan hati orang lain.
Ternyata tindakan itu akan meningkatkan lagi darjah kemarahan orang lain dan ketegangan kedua-dua belah pihak.
Justeru, untuk meraih bahagia, semua sifat itu perlu dihakis segera supaya jalan menuju bahagia boleh digapai.
Meskipun, diakui sukar untuk menembusi halangan-halangan terutama yang telah sebati dalam diri namun, berusaha dan berdoalah agar ALLAH menetapkan hati kita untuk menghakis sikap negatif.
(Sumber: Siti Marziah Zakaria)