Sentimen berhati-hati dorong Bursa Malaysia rendah

Sentimen berhati-hati dorong Bursa Malaysia rendah

BURSA Malaysia dibuka rendah pada Rabu berikutan sentimen berhati-hati menjelang data inflasi Amerika Syarikat (AS) yang akan dikeluarkan.

Pada jam 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 7.28 mata kepada 1,446.11 daripada 1,453.39 pada Selasa.

Indeks dibuka rendah 6.36 mata kepada 1,447.03.

Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 179 berbanding 106 dengan 254 kaunter tidak berubah dan 1,795 tidak diniagakan.

Jumlah dagangan sebanyak 159 juta unit bernilai RM81 juta.

Indeks Harga Pengguna AS pada Ogos dijangka tinggi, mewujudkan kebimbangan bahawa Rizab Persekutuan AS akan mengekalkan sentimen kadar faedah tinggi.

Bagaimanapun, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng menjangka sentimen pasaran masih kukuh walaupun terdapat turun naik di peringkat luaran, justeru, menjangka indeks akan berada dalam julat 1,450-1,460 hari ini.

Beliau percaya minat dijangka beralih kepada kaunter minyak dan gas hari ini berikutan kenaikan harga minyak mentah, berdasarkan minyak mentah Brent yang melonjak melepasi US$92 setong berikutan bekalan yang terhad.

“Menariknya, minat belian turut dilihat dalam kalangan saham perladangan walaupun harga minyak sawit mentah (MSM) merosot kepada di bawah RM3,700 satu tan berikutan simpanan stok yang tinggi,” katanya kepada Bernama.

Kaunter saham wajaran tinggi Bursa, Maybank merosot dua sen kepada RM9.14, CIMB tidak berubah pada RM5.70 dan Tenaga Nasional berkurangan satu sen kepada RM9.83.

Daripada saham aktif, Berjaya Land menambah lima sen kepada 32 sen dan Sarawak Consolidated naik satu sen kepada 47 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas berkurangan 37.23 mata kepada 10,662.87, Indeks FBMT 100 merosot 38.25 mata kepada 10,342.02, Indeks FBM Emas Shariah susut 10.49 mata kepada 10,850.48 dan Indeks FBM ACE jatuh 16.56 mata kepada 5,149.39.

Sementara itu, Indeks FBM 70 meningkat 5.83 mata kepada 14,067.98.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 107.44 mata kepada 16,329.48, Indeks Perladangan naik 1.10 mata kepada 6,885.38 serta Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan merosot 0.07 mata kepada 170.66. – Bernama

Sumber