S P Setia menang tiga anugerah

S P Setia menang tiga anugerah

SHAH ALAM – S P Setia telah memenangi tiga anugerah di Malaysia Landscape Architecture Awards (MLAA 12) yang telah diadakan baru-baru ini.

Tiga anugerah itu ialah dua Anugerah Kecemerlangan untuk projek Essex Gardens, Setia Eco Templer dan Setia EcoHill manakala Anugerah Kepujian bagi projek Residensi Vogue 1, KL Eco City (KLEC).

Timbalan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif S P Setia, Datuk Seri Koe Peng Kang berkata, lanskap sentiasa menjadi kawasan penting dalam semua pembangunan S P Setia kerana syarikat bukan sahaja membina rumah tetapi berusaha untuk membina tempat dan destinasi dengan cara yang mampan di mana alam sekitar dan komuniti berkembang maju bersama.

“Kami berbesar hati kerana mendapat pengiktirafan untuk tiga projek ini. Banyak idea dan usaha telah dilakukan dalam pembangunan projek-projek berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Peng Kang berkata, Essex Gardens dan fasa pertama Setia Eco Templer di Rawang meraih Anugerah Kecemerlangan manakala Residensi Vogue 1 di KL Eco City, Kuala Lumpur menerima Anugerah Kepujian Anugerah Pembangunan Landskap.

“Anugerah ini memberi pengiktirafan kepada seni bina landskap dan ia telah meningkatkan kualiti keseluruhan pembangunan berkenaan dengan sensitiviti terhadap alam sekitar, keperluan sosial dan komuniti,” katanya.

Sementara itu, Peng Kang berkata, pembangunan perbandaran pemaju hartanah di Semenyih, Setia EcoHill 2 telah dianugerahkan Anugerah Kecemerlangan Anugerah Pelan Induk Landskap Kategori Pemaju.

“Ia diiktiraf kerana penyelesaian perancangan landskap dan reka bentuk yang berjaya menangani masalah alam sekitar, sosial dan ekonomi yang kompleks,” katanya.

Beliau berkata, berkeluasan 55 ekar dalam Setia Eco Templer, Essex Gardens telah dilandskapkan untuk memelihara laluan air sedia ada yang berfungsi sebagai sistem saliran semula jadi dan kolam penahan untuk seluruh perbandaran.

“Dengan lokasinya bersebelahan dengan hutan simpan, pembinaan Essex Gardens turut mengambil kira pemeliharaan pokok-pokok matang. Sebanyak 380 pokok telah dipindahkan dari bekas tanah padang golf, dan rumah dibina di sekeliling pokok yang telah matang untuk mengelakkan penebangan pokok.

“Pelan induk Setia EcoHill 2 terdiri daripada lebih 80 ekar kawasan hijau yang telah dikhaskan untuk membina taman di dalam perbandaran. Perbandaran ini juga mempunyai ‘South Creek’ seluas 17 ekar dan Taman Kembara seluas 18 ekar yang memenangi anugerah,” katanya.

Keng Pang berkata, salah satu perbandaran di bawah siri Eko SP Setia, Setia EcoHill 2 dirancang untuk memelihara cerun dan ketinggian gunung semula jadi yang menuju ke Bukit Tempurung berhampiran dan menawarkan peluang rekreasi luar untuk penduduknya.

“Membudayakan persekitaran yang lebih hijau untuk komunitinya, ia juga ditanam lebih daripada 10,000 pokok,” katanya.

Sumber