Ringgit terus rendah berbanding pengukuhan dolar AS

Ringgit terus rendah berbanding pengukuhan dolar AS

Gambar hiasan - Foto 123RF

Gambar hiasan – Foto 123RF

RINGGIT terus menyusut berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini berikutan unit negara maju itu kekal kukuh menjelang mesyuarat Rizab Persekutuan minggu depan yang dijangka menaikkan kadar faedah sebanyak 25 mata asas lagi, kata penganalisis.

Pada 6 petang, mata wang tempatan berada pada 4.5600/5655 berbanding dolar AS daripada 4.5400/5465 sewaktu ditutup pada Khamis.

Peniaga berkata, pergerakan ringgit adalah seiring dengan kebanyakan mata wang Asia lain, menjejaki yuan China yang menerima tekanan baharu berikutan perbezaan hasil yang semakin meluas dengan AS dan isyarat pemulihan ekonomi yang tidak menentu.

Ketua Ahli Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, ringgit lemah menjelang akhir sesi kepada 4.5623 selepas mencatatkan peningkatan mendadak sejak minggu lepas.

“Mungkin terdapat kombinasi aktiviti pengambilan untung dan kebimbangan yang meningkat terhadap ekonomi China yang dijangka menjurus kepada permintaan kepada dolar AS yang lebih tinggi. Indeks Dolar AS melonjak sehingga 100.69 mata hari ini, memberikan isyarat kembalinya permintaan terhadap dolar AS,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama semasa ditutup semalam.

Mata wang tempatan menokok berbanding euro kepada 5.0735/0796 daripada 5.0902/0975 semasa ditutup pada Khamis, meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.2185/2229 daripada 3.2540/2589, namun merosot berbanding pound Britain kepada 5.8669/8740 daripada 5.8630/8714 sebelumnya.

Ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang Asean lain.

Mata wang tempatan itu turun berbanding peso Filipina kepada 8.33/8.34 daripada 8.32/8.34 pada Khamis dan merosot berbanding rupiah Indonesia kepada 303.4/303.9 daripada 302.9/303.5 sebelum ini.

Ringgit naik berbanding baht Thailand kepada 13.2327/2541 daripada 13.3525/3780 dan menokok berbanding dolar Singapura kepada 3.4304/4350 daripada 3.4324/4378 semalam. – Bernama

Sumber