Ringgit susut susulan jangkaan AS naikkan kadar faedah

Ringgit susut susulan jangkaan AS naikkan kadar faedah

KUALA LUMPUR – Ringgit meneruskan aliran penurunannya berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Khamis selepas hasil perbendaharaan negara maju itu yang stabil ternyata memberi sokongan ke atas mata wang tersebut, kata penganalisis.

Pada 6 petang, ringgit susut kepada 4.2180/2210 berbanding dolar AS daripada 4.2130/2155 pada akhir urus niaga Rabu.

Penganalisis Kanan Pasaran OANDA bagi Asia Pasifik, Jeffrey Halley berkata hasil perbendaharaan AS dan mata wang dolar meningkat secara sederhana susulan pengumuman minit-minit mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan AS (FOMC) malam tadi.

“Dokumen itu menunjukkan cadangan kenaikan kadar faedah sebanyak 50 mata asas oleh pihak Rizab Persekutuan AS (Fed) yang dijangka berkuatkuasa mulai bulan depan,” katanya.

Halley berkata mata wang negara-negara Asia juga mencatat prestasi berdaya tahan semalaman dan hanya mencatat penyusutan kecil.

“Walaupun selepas kenyataan Gabenor Fed Lael Brainard, pertukaran asing Asia kekal stabil tanpa sebarang tanda-tanda susut,” katanya.

Pada akhir urus niaga hari ini, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0996/1021 daripada 3.1001/1021 pada akhir urus niaga semalam dan mengukuh berbanding euro pada 4.5942/5975 daripada 4.5964/5991.

Unit tempatan itu rendah berbanding pound Britain pada 5.5188/5228 daripada 5.5178/5210 pada Rabu dan susut berbanding yen kepada 3.4093/4120 daripada 3.4014/4034. – Bernama

Sumber