Ringgit meningkat 310 peratusan mata berbanding dolar AS

Ringgit meningkat 310 peratusan mata berbanding dolar AS

Gambar hiasan - Foto 123RF

Gambar hiasan – Foto 123RF

NILAI ringgit terus melonjak berbanding dolar AS hari ini apabila dolar AS menyusut disebabkan data Indeks Harga Pengguna (IHP) Amerika Syarikat bagi Jun 2023 yang lebih rendah daripada jangkaan.

Pada 9 pagi, mata wang tempatan meningkat 310 peratusan mata (pip) kepada 4.6190/6230 berbanding dolar AS daripada 4.6500/6535 pada penutup hari Rabu.

Menurut laporan berita, IHP AS merosot kepada tiga peratus pada Jun daripada empat peratus pada Mei 2023, rendah sedikit di bawah jangkaan pasaran 3.1 peratus.

Peniaga ActivTrades Dyogenes Rodrigues Diniz berkata pengumuman IHP menunjukkan dasar monetari yang diterima pakai oleh Rizab Persekutuan (Fed) telah memberikan kesan yang diingini dan pelabur sudah mula tertanya-tanya bila Fed akan mula menurunkan kadar faedah.

“Dari sudut teknikal, USD/MYR boleh turun ke paras 4.5750 dan 4.5250 dalam beberapa minggu akan datang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, Indeks Dolar AS (DXY) terus merosot kepada 100.568 mata manakala hasil Perbendaharaan AS 10 tahun jatuh kira-kira 10 mata asas kepada 3.86 peratus.

“Justeru, ringgit sepatutnya mendapat manfaat daripada ini kerana Fed mungkin mengubah pendirian dasar monetarinya pada satu ketika pada masa hadapan,” jelasnya.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan menyusut nilai berbanding yen Jepun kepada 3.3345/3377 daripada 3.3300/3327 pada penutupan dagangan Rabu dan lemah berbanding euro kepada 5.1446/1491 daripada 5.1262/1300, tetapi meningkat berbanding pound Britain kepada 6.0005/6.0057 daripada 6.0120/0165 semalam.

Berbanding mata wang Asean pula, mata wang tempatan diniagakan bercampur-campur.

Ringgit mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.4727/4762 daripada dagangan Rabu 3.4753/4782 dan meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 306.3/306.8 daripada 308.4/308.8 sebelumnya.

Bagaimanapun, mata wang tempatan menambah berbanding baht Thai kepada 13.3243/3420 daripada 13.3173/3338 dan tidak berubah berbanding peso Filipina pada 8.46/8.47. – Bernama

Sumber