Bursa Malaysia terus meningkat bagi hari ketiga berturut-turut

Bursa Malaysia terus meningkat bagi hari ketiga berturut-turut

BURSA Malaysia meneruskan kenaikan bagi hari ketiga berturut-turut pada Rabu, disokong belian tidak henti-henti dalam saham berwajaran tinggi didahului kaunter produk dan perkhidmatan perindustrian, sejajar dengan prestasi positif di bursa serantau.

Pada jam 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 6.60 mata atau 0.47 peratus kepada 1,398.06 daripada 1,391.46 ketika ditutup pada Selasa.

Indeks barometer itu dibuka 1.19 mata lebih rendah kepada 1,390.27 sebelum bergerak serendah 1,389.94 pada sesi awal dan melepasi paras psikologi 1,400 mata apabila ia mencecah 1,400.05 selepas rehat tengah hari.

Keseluruhan pasaran juga positif apabila kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 490 berbanding 347, manakala 429 kaunter tidak berubah, 992 kaunter tidak diniagakan dan 16 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berkurangan kepada 2.82 bilion unit bernilai RM1.73 bilion daripada 2.83 bilion unit bernilai RM1.86 bilion pada Selasa.

Petronas Chemicals dan Press Metal ialah penyumbang utama kepada kenaikan indeks utama, masing-masing meningkat 20 sen dan 9.0 sen kepada RM6.34 dan RM4.89, dengan jumlah gabungan sebanyak 3.87 mata.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti, Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata, indeks-indeks utama serantau kebanyakannya ditutup tinggi didorong oleh keyakinan terhadap sokongan China kepada sektor hartanah.

Beliau memberitahu Bernama pada Rabu, ekonomi kedua terbesar dunia itu dijangka mempercepat pelaksanaan dasar untuk menyokong pasaran hartanah, dan langkah mendorong keyakinan perniagaan mungkin diperkenalkan.

Beliau juga berkata, pelabur berharap Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) akan menghentikan sementara kenaikan kadar faedah menjelang laporan inflasi negara itu hari ini, sekali gus akan kurang menjejaskan aktiviti perniagaan.

“Di peringkat tempatan, kami berpandangan prospek ekuiti tempatan akan kekal stabil dengan sokongan belian teguh dari institusi tempatan susulan penilaian yang murah, didorong oleh asas ekonomi domestik yang kukuh yang akan memacu pasaran ke hadapan.

“Oleh itu, kami menjangkakan FBM KLCI menguji semula paras 1,400 tidak lama lagi. Jika FBM KLCI mampu bertahan melebihi paras 1,400 untuk tempoh yang lebih lama, prospek indeks penanda aras ini akan positif dalam jangka masa sederhana,” katanya.

Pak Leng berkata, selepas menembusi paras psikologi kukuh 1,400, pihaknya menetapkan rintangan seterusnya pada 1,415 dan sokongan pada 1,375.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan CIMB masing-masing meningkat 1.0 sen kepada RM8.75 dan RM5.22, IHH Healthcare menambah 7.0 sen kepada RM5.95, Public Bank tidak berubah pada RM3.87, manakala Tenaga Nasional turun 2.0 sen kepada RM9.03.

Antara saham aktif, Sarawak Consolidated dan KNM Group masing-masing menokok 1.0 sen kepada 49.5 sen dan 8.5 sen, Salutica melonjak 11.5 sen kepada 72 sen, dan RGB International meningkat 2.5 sen kepada 36.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 43.80 mata kepada 10,300.35; Indeks FBMT 100 menokok 41.29 mata kepada 9,990.19; Indeks FBM Emas Syariah menambah 58.15 mata kepada 10,602.51;

Indeks FBM 70 meningkat 31.03 mata kepada 13,554.86; dan Indeks FBM ACE naik 1.74 mata kepada 5,221.27.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 30.40 mata kepada 15,497.28; Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 2.21 mata kepada 161.26; Indeks Tenaga menokok 11.66 mata kepada 813.88 namun, Indeks Perladangan susut 5.40 mata kepada 6,896.03.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 2.09 bilion unit bernilai RM1.50 bilion daripada 2.01 bilion unit bernilai RM1.60 bilion pada Selasa.

Jumlah dagangan waran berkurangan kepada 299.16 juta unit bernilai RM47.77 juta daripada 311.74 juta unit bernilai RM48.00 juta semalam.

Jumlah dagangan Pasaran ACE sebanyak 422.16 juta saham bernilai RM179.29 juta berbanding dengan 504.39 juta saham bernilai RM213.07 juta sebelumnya.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 503.86 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama; produk dan perkhidmatan perindustrian (632.60 juta); pembinaan (86.05 juta); teknologi (140.79 juta); SPAC (tiada); perkhidmatan kewangan (72.74 juta); hartanah (213.60 juta); perladangan (31.59 juta); REIT (10.67 juta), dana tertutup (24,900); tenaga (228.10 juta); penjagaan kesihatan (43.93 juta); telekomunikasi dan media (46.40 juta); pengangkutan dan logistik (24.56 juta); serta utiliti (57.01 juta). – Bernama

Sumber