Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS

Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS

Ringgit mengakhiri urus niaga Isnin dengan lebih mengukuh berbanding dolar AS. - Gambar hiasan

Ringgit mengakhiri urus niaga Isnin dengan lebih mengukuh berbanding dolar AS. – Gambar hiasan

RINGGIT mengakhiri urus niaga Isnin dengan lebih mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), dipacu oleh kelemahan unit negara maju itu berikutan data kurang memberangsangkan pada minggu lepas serta prospek penurunan dolar, kata penganalisis.

Pada 6 petang, ringgit mengukuh kepada 4.5050/5090 berbanding dolar AS daripada 4.5535/5565 pada Jumaat.

Menurut peniaga, dolar AS berkemungkinan menjurus kepada penyusutan bulanan berikutan jangkaan bahawa tindakan Rizab Persekutuan AS telah mengakhiri kitaran kenaikan kadar faedah secara agresif susulan tindakannya menaikkan 25 mata asas kadar itu pada minggu lepas.

Malah, data ekonomi negara itu yang diumumkan pada minggu lepas menunjukkan kadar inflasi tahunan AS meningkat pada kadar paling perlahan dalam tempoh lebih dua tahun pada Jun 2023 serta dalam persekitaran tekanan harga asas yang susut, sekali gus hanya mengurangkan keperluan bagi Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) untuk terus menaikkan kadar tersebut.

“Dalam jangka terdekat ini, dolar berkemungkinan meneruskan aliran penurunan didorong oleh persepsi pasaran bahawa FOMC telah mengakhiri tindakannya mengetatkan kadar sedia ada,” katanya.

Selain itu, ringgit diniagakan tinggi berbanding kumpulan mata wang utama.

Unit tempatan itu meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.1658/1689 daripada 3.2691/2715; mengukuh berbanding euro kepada 4.9690/9734 daripada 4.9966/9998 dan naik berbanding pound Britain kepada 5.7916/7968 daripada 5.8362/8401.

Prestasi sama turut dicatatkan oleh ringgit berbanding mata wang Asean.

Ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.3877/3910 daripada 3.4183/4208 pada Jumaat dan naik berbanding peso Filipina kepada 8.20/8.22 daripada 8.29/8.31.

Ia turut mengukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 298.6/299.1 daripada 301.4/301.8 dan meningkat berbanding baht Thailand pada 13.1594/1765 daripada 13.2058/2218. – Bernama

Sumber