Bursa Malaysia catat untung bersih RM76.25 juta suku kedua

Bursa Malaysia catat untung bersih RM76.25 juta suku kedua

BURSA Malaysia Bhd mencatatkan keuntungan bersih yang lebih tinggi sebanyak RM76.25 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun, 2023 (2Q FY2023) berbanding RM59.47 juta bagi tempoh yang sama tahun sebelumnya disebabkan perbelanjaan operasi yang lebih rendah.

Hasil, bagaimanapun susut kepada RM144.60 juta pada suku kedua daripada RM151.89 juta dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Bursa itu berkata,keuntungan selepas cukai, zakat dan kepentingan minoriti (PATAMI) bagi separuh pertama 2023 (1H FY2023) meningkat 3.9 peratus kepada RM132.42 juta berbanding RM127.44 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas, manakala hasil turun kepada RM301.10 juta daripada RM317.19 juta sebelumnya.

Dalam satu kenyataan, Bursa Malaysia mengaitkan keuntungan yang bertambah baik itu disebabkan kemerosotan 8.5 peratus dalam perbelanjaan operasi kepada RM131.1 juta pada separuh pertama 2023 daripada RM143.2 juta pada separuh pertama 2022, terutamanya disebabkan oleh pembalikan peruntukan sekali sahaja.

Bursa itu juga mengumumkan dividen interim sebanyak 15 sen sesaham untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 berjumlah kira-kira RM121.4 juta, mewakili nisbah pembayaran sebanyak 91.7 peratus.

Bursa Malaysia berkata, pasaran sekuriti melaporkan hasil dagangan sebanyak RM126.0 juta pada separuh pertama 2023, menurun sebanyak 14.4 peratus berbanding RM147.2 juta pada separuh pertama 2022 disebabkan oleh purata nilai dagangan harian (ADV) yang lebih rendah untuk dagangan dalam pasaran (OMT) dan dagangan perniagaan langsung (DBT), berjumlah RM2.09 bilion berbanding RM2.46 bilion tahun lepas.

Ia berkata, halaju dagangan dalam separuh pertama merosot kepada 28 peratus daripada 33 peratus tahun lepas, manakala dana yang diperoleh melalui tawaran awam permulaan (IPO) meningkat 8.9 peratus kepada RM2.3 bilion daripada RM2.1 bilion sebelumnya.

Jumlah hasil dagangan derivatif juga menurun sebanyak 6.9 peratus kepada RM44.5 juta pada separuh pertama 2023 daripada RM47.7 juta pada separuh pertama 2022, terutamanya disebabkan oleh perolehan pendapatan pengurusan cagaran yang lebih rendah dan bilangan kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (FCPO) yang rendah yang diniagakan dalam tempoh yang dikaji.

“Bagi Pasaran Islam, lonjakan aktiviti dagangan di Bursa Suq Al-Sila’ (BSAS) membawa kepada peningkatan 15.5 peratus dalam hasil dagangan kepada RM8.8 juta pada separuh pertama 2023, meningkat daripada RM7.6 juta pada tempoh yang sama tahun lalu.

“Bursa Malaysia terus menumpukan kepada membangunkan instrumen pelaburan patuh syariah baharu untuk memenuhi keperluan pelabur, termasuk pelaburan yang mampan dan bertanggungjawab, produk bercirikan wakaf dan Bursa Gold Dinar,” katanya.

Sementara itu, hasil bukan dagangan meningkat 3.2 peratus kepada RM110.3 juta, didorong terutamanya oleh pertumbuhan dalam perniagaan data, yang mencatatkan hasil operasi RM32.9 juta, meningkat 5.6 peratus berbanding RM31.2 juta yang dijana pada separuh pertama 2022.

Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Muhamad Umar Swift berkata bursa itu optimis dengan berhati-hati dalam memenuhi petunjuk prestasi utama keseluruhan bagi tahun kewangan 2023.

Beliau berkata, bursa itu akan meningkatkan usaha memacu kerancakan pasaran melalui pelbagai langkah, termasuk menjadikan pelaburan lebih berpatutan, seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri baru-baru ini.

“Dalam kami mengharungi keadaan yang tidak menentu ini, kami mendapat galakkan daripada peningkatan yang timbul melalui potensi pertumbuhan yang dibentangkan oleh penilaian yang agak menarik bagi pasaran ekuiti kami dan jangkaan persekitaran kadar faedah global yang stabil.

“Faktor-faktor ini, ditambah dengan kadar duti setem yang dikurangkan baru-baru ini ke atas dagangan saham, bersedia untuk menarik pelabur tempatan dan antarabangsa,” katanya. – Bernama

Sumber